Awal minggu ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah berjaya membangunkan Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman (IAQ) dalam tempoh pandemik Covid-19. Panduan serta infografik itu telah mendapat persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Pertahanan pada 7 Julai lalu dan telah diluluskan oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 8 Julai lalu.

Panduan tersebut adalah untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang kaedah bagi menambah baik pengudaraan dan kualiti udara dalaman di empat lokasi penting. Empat lokasi tersebut adalah tempat kerja, kemudahan kesihatan, kediaman dan tempat awam untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19 melalui udara. Selain itu juga, panduan tersebut masih lagi perlu dirujuk bersama prosedur operasi standard (SOP) terkini yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan langkah kawalan lain untuk mengurangkan penularan wabak.

Berikut merupakan garis panduan umum bagi penjagaan udara di kediaman dan tempat kerja yang boleh kita ikuti bersama.

Panduan umum penjagaan kualiti udara

Kredit gambar: https://learningenglish.voanews.com/a/good-air-flow-may-help-protect-from-covid-19/5553002.html

Virus Covid-19 merebak dengan lebih mudah dalam bangunan berbanding dengan luar bangunan kerana kepekatan zarah virus adalah lebih tinggi di dalam bangunan di sebabkan pengudaraan yang terhad ataupun kurang pengudaraan untuk menggerakkan virus bagi tujuan mengurangkan kepekatan virus di udara. Oleh itu adalah penting untuk memastikan pengudaraan yang ada boleh membantu mengurangkan kepekatan virus dalam persekitaran premis.

Penggunaan pengudaraan semula jadi (natural ventilation) sekiranya bersesuaian merupakan antara cara yang paling berkesan dan kos efektif bagi mengurangkan kepekatan virus di udara.

Antara cadangan utama di dalam keempat-empat garis panduan tersebut merujuk kepada penggunaan udara segar sekerap mungkin di mana-mana tempat tertutup dan menggunakan penyaman udara. Mengurangkan jumlah pekerja yang duduk di satu-satu tempat tertutup juga dapat mengurangkan risiko penularan wabak.

Selain itu juga, meletakkan pembersih udara mudah alih bukan satu-satunya langkah untuk meningkatkan kualiti udara dalaman. Bagi lokasi berhawa dingin tanpa pengalihudaraan mekanikal dan penyaman udara terpusat (MVAC), pintu dan tingkap harus dibuka sekerap mungkin untuk membolehkan udara segar masuk.

Julat suhu penyaman udara yang disyorkan adalah antara 23 darjah hingga 26 darjah Celcius dengan kelembapan relatif antara 40 hingga 70 peratus. Penggunaan kipas berdiri turut disyorkan untuk membantu aliran udara keluar dari tingkap dan pintu atau meniup udara segar masuk.

Namun begitu, anda disyorkan untuk meletakkan kipas tersebut pada mod statik, kerana pergerakan kipas antara satu individu ke individu lain boleh meningkatkan risiko kemungkinan penularan virus melalui udara. Panduan tersebut turut menambah bagi sebarang penggunaan kipas ekzos, seperti di tandas dan di dapur pula, jangan buka tingkap di sebelahnya untuk mengelakkan aliran udara terpintas.

Penjagaan kualiti udara di kediaman

Kredit gambar: https://www.wsj.com/articles/key-to-preventing-covid-19-indoors-ventilation-11598953607

Garis panduan tersebut tidak menyarankan kebergantungan terhadap penyaman udara rumah. Ini kerana, penyaman udara jenis split-unit yang biasa kita gunakan di rumah tidak dapat memberikan kesegaran udara yang mencukupi disebabkan tidak mempunyai alat penukaran udara dan sistem penapis udaranya tidak mencukupi untuk menapis atau mematikan zarah virus di udara.

Selain itu, ketika penghawa dingin tidak digunakan, tingkap dan pintu harus dibuka sebanyak mungkin untuk pengudaraan dalam rumah. Lebih-lebih lagi pada waktu pagi dan malam ketika udara luar lebih sejuk. Bukaan kecil di tingkap semasa penyaman udara dihidupkan juga disarankan untuk meningkatkan pengudaraan.

Biarpun begitu, terdapat peringatan penting kepada mereka yang menetap di kediaman seperti rumah pangsa, pangsapuri dan kondominium agar tidak sering membuka tingkap yang menghadap ke rumah jiran kecuali jika perlu. Ia juga menyarankan agar tidak menggunakan balkoni yang berdekatan dengan rumah jiran.

Penjagaan kualiti udara di tempat kerja

Kredit gambar: https://theconversation.com/heading-back-to-the-office-heres-how-to-protect-yourself-and-your-colleagues-from-coronavirus-140436

Penularan juga boleh berlaku apabila individu menyentuh permukaan yang telah dicemari oleh virus dan seterusnya menyentuh mata, hidung atau mulut. Terdapat kemungkinan bahawa virus tersebut boleh menular di tempat yang mempunyai pengudaraan yang tidak mencukupi atau di mana terdapat kesesakan kerana titisan yang kecil boleh terampai di udara ataupun boleh bergerak melebihi jarak 1 meter.

Garis panduan tersebut menyarankan penggunaan pengudaraan semula jadi (natural ventilation) sekiranya bersesuaian merupakan antara cara yang paling berkesan dan kos efektif bagi mengurangkan kepekatan virus di udara.

Selain dari tempat kerja, antara contoh premis bukan kediaman adalah sekolah, universiti, bangunan penginapan, rumah ibadat dan juga ruang komersial. Untuk ruang pejabat dan perniagaan yang berhawa dingin tanpa sistem pengalihudaraan mekanikal dan penyaman udara (MVAC), garis panduan itu mengesyorkan mematikan penyaman udara apabila tingkap atau pintu terbuka.

Sekiranya cuaca dan kualiti udara luaran membenarkan, buka tingkap dan pintu sekerap mungkin untuk mewujudkan pengudaraan silang (cross ventilation) semula jadi dan agar udara segar dapat dibawa ke dalam ruang tersebut. Penggunaan alat penyaman udara perlu pada tahap minimum atau dipadamkan sekiranya tingkap dan pintu dibuka bagi tujuan pengudaraan.

Kipas ekzos di tempat seperti tandas atau dapur harus dipasang pada kapasiti maksimum. Selain itu juga, kadar pengudaraan minimum yang disarankan ialah 10 liter/saat bagi setiap orang. Sekiranya ia tidak dapat dipenuhi, maka panduan itu mengesyorkan mengurangkan bilangan orang di ruang berhawa dingin.

Panduan itu turut juga mengesyorkan menggunakan pembersih udara mudah alih dengan penapis yang dapat mencapai prestasi MERV 13 atau prestasi yang lebih baik bagi kawasan umum yang mengguna pakai penghawa dingin. Dengan penggunaan pembersih udara tersebut, ia boleh membantu membuang zarah-zarah bawaan udara yang boleh mengandungi virus.

Apa yang paling utama adalah mengelakkan sebarang situasi yang mana virus senang menular iaitu Crowded places (tempat sesak), Close-contact (kontak rapat) dan Confined spaces (ruangan terkurung). Risiko jangkitan adalah lebih tinggi sekiranya terdapat pertindihan tiga C ini di sesuatu tempat.