McDonald’s Malaysia pada ketika ini mempunyai 58 jenis menu. Dengan lebih 265 cawangan di seluruh negara, restoran makanan segera yang lebih dikenali dengan nama ‘McD’ di Malaysia ini sudah menjadi satu institusi. Ia menjadi tempat rakyat Malaysia menikmati sarapan, makan tengah hari, makan malam serta snek.
Tapi tahukah anda apa menu yang dihidangkan oleh McD Malaysia ketika mula-mula dibuka pada tahun 1982?
Cawangan pertama di Malaysia
Cawangan pertama McD di Malaysia dibuka pada 29 April 1982 di Jalan Bukit Bintang.
Ketika mula-mula dibuka, ia mendapat sambutan hangat dari rakyat Malaysia seperti yang dapat anda lihat dalam gambar di atas!
Menu McDonald’s Malaysia pada 1982
Pada hari pertama pembukaannya, McD hanya menawarkan 18 jenis menu. Sekarang jumlah menunya bertambah hampir tiga kali ganda!
Paling menarik, pada 1982 McD ada menjual beefburger; yang juga merupakan cheeseburger tanpa cheese. Kini McD bukan sahaja tidak lagi menjual beefburger dan cheeseburger, mereka hanya menjual Double Cheeseburger.
Kemudian perhatikan juga pada 1982, McD ada menjual durian shakes dan susu segar!
Adakah harga McD pada 1982 murah?
Selain jumlah menunya yang semakin meningkat, harga menu juga meningkat. Seperti yang anda dapat lihat, sebiji Big Mac di McD pada 1982 berharga RM3.00. Kini ia berharga RM10.40 – peningkatan harga sebanyak 247%.
Quarter Pounder with Cheese pula berharga RM3.20 pada 1982. Kini ia berharga RM11.32 – harga sebanyak 254%. Ice Cream Cone pula mengalami peningkatan sebanyak 200%.
Satu-satunya menu McD pada 1982 yang mengalami peningkatan harga paling minimum adalah Apple Pie. Kini berharga RM3.77, Apple Pie mengalami peningkatan harga sebanyak 121% sahaja.
Peningkatan harga ini tidak mengejutkan jika kita mengambil kira faktor inflasi serta kos barang mentah yang sudah pasti akan sentiasa meningkat dengan inflasi.
Secara kasarnya, harga menu McD pada ketika ini meningkat lebih 3 kali ganda daripada harga tahun 1982.
Pendapatan kasar sebulan purata rakyat Malaysia pada 1980-an pula adalah sekitar RM700-800. Kini pada tahun 2020, pendapatan kasar sebulan purata rakyat Malaysia adalah sekitar RM2,000. Ini peningkatan sebanyak 186% atau sekitar 2.86 kali ganda berbanding gaji kasar pada tahun 1980-an.
Cuba kita bandingkan: harga menu McD naik lebih 3 kali ganda, tetapi gaji kasar rakyat hanya naik tak lebih dari 3 kali ganda.
Jadi jika anda tanya kami, “Adakah harga McD pada 1982 murah?” Kami menjawab ya. Tetapi masalah ini lebih berkisar kepada gaji kita yang tak berbaloi dengan kadar inflasi – bukannya harga barang yang semakin tinggi.