Ketika artikel ini sedang ditulis, aplikasi FaceApp sedang menjadi tular di Malaysia (dan seluruh dunia). Malah FaceApp sebenarnya sudah menjadi tular sekitar dua-tiga tahun lepas apabila pengguna menggunakannya untuk melihat muka mereka apabila menjadi tua/wanita/muda.

Kini FaceApp menjadi kembali tular dengan penuras (filter) tukar jantina yang baru dan lebih halus hasil kerjanya berbanding versi 2017 dahulu. Sebab itulah ia kembali mendapat sambutan hangat dalam kalangan netizen.

Trend penggunaan FaceApp ini turut mendapat perhatian ustaz-ustaz yang berpendapat hukum menggunakan aplikasi ini sebenarnya haram.

Tak dapat dinafikan FaceApp adalah sebuah aplikasi yang biasanya digunakan untuk bergurau-gurau sahaja. Tetapi tahukah anda apa kesannya kepada privasi anda? Malah FBI di Amerika Syarikat memberi amaran jika anda menggunakan FaceApp, anda sebenarnya menghantar gambar muka anda kepada kerajaan Rusia! Betulkah?

Keraguan mengenai aplikasi FaceApp

FaceApp mempunyai kebolehan menukar gambar seseorang mengikut penuras berbeza dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI).

Sebaik sahaja FaceApp menjadi tular di gedung PlayStore dan App Store, ramai orang – termasuk FBI – yang memberi amaran kepada pengguna mengenai potensi pencerobohan privasi aplikasi Rusia ini.

Sekali pandang, FaceApp nampak seperti sebuah aplikasi yang tidak bermasalah. Malah ia telah dicop ‘Editors’ Choice’ di gedung App Store dan Play Store.

Tetapi berapa ramai pengguna yang membaca betul-betul polisi kerahsiaan FaceApp?

Jika anda melihat FaceApp betul-betul, anda akan cakna bahawa aplikasi ini berkongsi maklumat tentang telefon anda dengan Facebook dan Google AdMob. Dua aplikasi ini membantu FaceApp untuk memasang iklan memandangkan penggunaan aplikasi ini adalah percuma.

Tetapi perkara yang paling merisaukan adalah jumlah data yang FaceApp hantar dari telefon anda ke server mereka di Rusia. Segala gambar peribadi yang anda guna dalam FaceApp akan dihantar ke server FaceApp di Rusia.

Washington Post baru-baru ini berjaya menghubungi pengasas FaceApp, Yaroslav Goncharov untuk mendapatkan penjelasan mengenai hubungan aplikasinya dengan privasi pengguna. Ini adalah jawapan Goncharov:

1. Data apa yang aplikasi FaceApp ambil?

FaceApp memuatnaik dan memproses gambar-gambar yang kita hantar untuk diedit di cloud. Gambar-gambar lain yang kita tak hantar untuk diedit oleh FaceApp takkan dimuatnaik.

Maklumat-maklumat peribadi pengguna seperti nama dan email pula tidak akan disimpan oleh FaceApp melainkan anda beri sendiri kepada mereka. Dan menurut Goncharov, “99% pengguna FaceApp tak beri pun nama dan emel mereka.”

2. Berapa lama aplikasi FaceApp simpan data anda?

Terma servis FaceApp memberi kebenaran kepada mereka lesen tanpa had kepada gambar yang kita hantar untuk diedit. Bagaimanapun menurut Goncharov, mereka biasanya akan memadam ‘kebanyakan’ gambar dari server mereka selepas 48 jam.

Perkataan yang perlu diawasi di sini adalah ‘kebanyakan’ – bukan ‘semua’. Ini bermakna FaceApp akan menyimpan sebahagian gambar yang dihantar oleh pengguna. Cuma tak dapat dipastikan apa mekanisme mereka untuk membezakan gambar yang akan disimpan atau dipadam.

3. Apa yang mereka buat dengan data anda?

Goncharov menafikan dakwaan aplikasi beliau menggunakan gambar yang dihantar oleh pengguna untuk membuat program identifikasi muka. Bagaimanapun jika anda meneliti terma aplikasi ini, ia sebenarnya memberikan kebenaran kepada mereka untuk berbuat demikian.

Sebaik sahaja anda memasang aplikasi ini di telefon pintar anda, anda sebenarnya bersetuju untuk memberi kebenaran kepada FaceApp – dan sesiapa sahaja yang mungkin akan membeli teknologi FaceApp pada masa akan datang – hak untuk buat apa sahaja yang mereka mahu dengan gambar anda.

Dengan memasang aplikasi ini juga, anda sebenarnya bersetuju untuk memberi lesen yang tak boleh ditarik balik, tidak eksklusif, bebas royalti, boleh dipindah milik dan boleh digunakan di seluruh dunia kepada FaceApp.

4. Siapa yang boleh akses data anda?

Inilah kerisauan utama pakar sekuriti siber mengenai FaceApp. Ini kerana FaceApp akan menyimpan data pengguna di server mereka di Rusia. Ini bermakna pada bila-bila masa kerajaan Rusia boleh mengakses data dalam server FaceApp.

Bagaimanapun Goncharov menekankan, data pengguna FaceApp dari luar Rusia tidak akan disimpan di server di Rusia. Hanya data pengguna di Rusia sahaja yang disimpan di situ. Beliau juga memberitahu FaceApp tidak menjual atau kongsi data pengguna dengan mana-mana pihak ketiga.

5. Bagaimana nak padam data anda?

Perlu diingat, membuang aplikasi FaceApp tidak akan memadam data anda. Sebaliknya untuk memadam data, anda perlu padam sendiri data yang anda kongsi dengan FaceApp secara manual selepas menggunakan aplikasi tersebut. Tetapi caranya agak leceh.

“Untuk padam data, anda boleh hantar permintaan padam di ā€˜Settings->Support->Report a bugā€™ dan menulis perkataan ‘Privacy’ di bahagian subjek,” kata Goncharov. Pengasas FaceApp ini bagaimanapun mengaku akan memperbaiki aspek antara dalam pengguna (user interface) untuk memudahkan pengguna memadam sendiri data mereka selepas menggunakan aplikasi tersebut.

Kesimpulan

Jadi di atas kertas, anda boleh lihat FaceApp bukanlah aplikasi yang menjaga privasi anda sangat. Tapi ia masih tidak memberi bahaya yang besar pun kepada privasi anda.

Tetapi anda harus ingat, risiko data anda akan dikongsi atau dijual kepada pihak ketiga tetap ada, terutamanya apabila anda menggunakan aplikasi percuma seperti FaceApp – meskipun pengasasnya menafikan akan berbuat demikian.

Jadi jika anda mahu menggunakan FaceApp, silakan. Tapi pastikan anda tahu risikonya sebelum nasi menjadi bubur.