Pelantar minyak merupakan rangka binaan dibuat daripada besi yang dibina di tengah-tengah laut bagi menggerudi lapisan batu di dasar laut. Ia dibina bagi mengeluarkan minyak mentah seperti petroleum dan gas asli yang terdapat di dasar laut.
Kebiasaannya, pelantar minyak ini mempunyai struktur bangunan yang mampu menempatkan para pekerja. Ia juga mempunyai kawasan bagi pendaratan helikopter dan tempat pemprosesan minyak mentah. Terdapat lima jenis pelantar minyak yang digunakan oleh syarikat pengeluar petroleum bagi menggali minyak mentah.
Antara pelantar yang terkenal adalah seperti pelantar tetap dan pelantar kecil. Kedua-dua pelantar ini bersifat kekal. Namun begitu, ianya masih boleh digunakan bagi tujuan lain selepas kerja-kerja pengeluaran minyak mentah selesai.
Di seluruh dunia, dianggarkan lebih 12,000 pelantar minyak telah dibina dan digunakan. Kerja-kerja menggali ini berterusan 24 jam sehari sehinggalah simpanan minyak tersebut menjadi terlalu sedikit untuk digali dan kos operasinya tidak lagi memadai.
Menjadi tukun tiruan
Tukun tiruan adalah merupakan satu struktur bahan binaan manusia yang terletak di dalam air. Lazimnya struktur ini dibina bagi tujuan menambahkan kepadatan sumber perikanan setempat.
Selepas satu tempoh, tukun tiruan akan berubah menjadi suatu habitat yang sesuai untuk perlindungan, pembiakan dan tempat mencari makanan kepada sebahagian besar spesies ikan dan habibat pelbagai jenis flora dan fauna yang lain.
Maka, pelantar minyak yang tidak lagi digunakan untuk menggali minyak sangat sesuai dijadikan sebagai tukun. Bayangkan, kos bagi membuka semula besi dan struktur konkrit di tengah-tengah lautan untuk hanya dibawa pulang sebagai besi buruk amatlah tidak berbaloi.
Sejak tahun 1984 lagi, Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan National Fishing Enhancement Act. Akta ini digunakan sebagai penampan kepada tinggalan pelantar minyak untuk menjadi tukun bagi pembiakan fauna.
Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia yang mempunyai tukun tiruan pelantar minyak yang diberikan secara percuma oleh Petronas. Dua pelantar minyak dinamakan sebagai Dana dan N30 milik syarikat Petronas telah dilabuh menjadi tukun tiruan di perairan Miri.
Sebagai pangkalan tentera
Selain sebagai tukun tiruan, pelantar minyak terpakai juga digunakan sebagai pangkalan tentera. Strukturnya yang sangat kukuh dengan kedudukan strategik kerap digunakan semula oleh tentera sebagai pangkalan. Ia bagi mengukuhkan tahap keselamatan di negeri Sabah, terutama di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Antara inisiatif yang sudah dilaksanakan adalah mewujudkan dua Pangkalan Laut Tun Azizan (PLTAZ) dan Tun Sharifah Rodziah (PLTSR). Ia melalui proses menaik taraf pelantar minyak yang tidak digunakan di perairan Sandakan serta Lahad Datu.
Kedua-dua pangkalan laut itu turut dilengkapi sistem radar pengawasan selain mampu menempatkan enam bot tempur. Ia sekali gus membolehkan operasi pemantauan perairan negara dilakukan dengan lebih berkesan.