Jika anda sedang tercari-cari idea hadiah Hari Ibu dan sedang buntu, ada satu benda yang dicadangkan oleh Rasulullah SAW.
Walaupun ayah diamanahi sebagai seorang ketua keluarga, namun ibu tetap lebih utama. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya ?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab:
أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
Maksudnya: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu – Riwayat Muslim (2548)
Maka diambil manfaat daripada hadis ini bahawa seorang ibu didahulukan dalam proses berbuat baiknya seorang anak itu kepada kedua ibubapanya sebanyak tiga kali ke atas bapanya. Bahkan telah disebutkan ijma’ para ulama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Haris al-Muhasibi dalam mentafdhilkan (mengutamakan) berbuat baik kepada ibu ke atas bapa disebabkan sarihnya madlul (isi yang ditunjukkan) oleh hadis di atas ini.
Manakala perkataan حُسْنِ الصُّحْبَةِ di dalam hadis di atas membawa maksud berbuat baik, berlemah lembut, merendahkan diri di hadapan mereka, mengasihi, memuliakan, serta mentaati mereka dalam hal-hal yang makruf. Ini dibuktikan dengan beberapa firman Allah S.W.T, antaranya:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ
Maksudnya: Dan rendahkanlah kepada kedua ibubapa kamu sayap kehinaan (rendahkan diri kamu) disebabkan perasaan kasih sayang (kepada mereka) – Surah al-Isra’ (24)
Jadi sempena Hari Ibu, hadiah apa yang paling terbaik boleh anda berikan kepada ibu anda? Jawapannya adalah bersedekah atas nama ibu anda.
Sedekah, derma mahupun wakaf atas nama ibu bapa adalah diharuskan dan sampai kepada mereka.
Ia sebahagian daripada doa, sebagaimana yang diajarkan Allah dengan firman-Nya bermaksud:
“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan ibu bapaku serta orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya timbangan amal dan pembalasan.” (Surah Ibrahim: 41)
Hadis mengisyaratkan perkara yang sama, sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seorang manusia meninggal maka putuslah amalnya, kecuali tiga hal: Sedekah jariah atau ilmu bermanfaat sesudahnya atau anak yang salih yang mendoakannya.” (HR Muslim, Abu Daud, AtTirmidzi, Nasa’i & Ahmad)
Syarat utama ialah amalan yang dilakukan ialah amalan soleh bertepatan dengan syariat islam, kemudian niatkan untuk disampaikan kepada arwah.
Perbuatan sahabat juga menunjukkan perkara yang sama dan diperakui Rasulullah dalam hadis bermaksud;
Daripada Abdullah bin Abbas RA bahawa ibu Saad bin Ubadah meninggal dunia ketika dia tidak ada di rumahnya, maka dia bertemu baginda dan bertanya, “Wahai Rasulullah SAW sesungguhnya ibuku telah meninggal sedangkan saya tiada ketika itu, apakah jika saya bersedekah untuknya bermanfaat baginya?
“Rasulullah menjawab, “Ya.” Saad berkata:, “Saksikanlah bahawa kebunku yang banyak buahnya aku sedekahkan untuknya.” – (HR AlBukhari)