Kejayaan atlet pecut Amerika Syarikat (AS), Noah Lyles yang berjaya memecahkan rekod dunia milik Usain Bolt dalam acara 200 meter tidak bertahan lama apabila penganjur mengakui dia diletakkan di tempat permulaan yang salah.
Terdahulu, Lyles merekodkan kepantasan 18.91 saat (s) pada Sukan Inspirasi di Florida, catatan yang mampu memadam rekod dunia bintang sensasi Jamaica, Bolt yang merakam 19.19s pada 2009.
Bagaimanapun, disebabkan catatan terbaik Lyles sebelum ini hanya 19.50s, atlet itu sendiri tidak percaya dia mampu merakam masa terpantas seperti yang dicatatkan itu dan ia jelas dapat dilihat menerusi riak wajahnya yang ‘bingung’ sebaik melepasi garisan penamat.
Beberapa minit kemudian, Lyles mendapat tahu yang dia bermula di tempat permulaan yang salah dan hanya menamatkan larian sejauh 185m, bukannya 200m.
“Anda tidak boleh bermain emosi saya seperti ini. Meletakkan saya di tempat yang salah,” kata Lyles menerusi ciapan di Twitter miliknya.
Pengulas BBC, Steve Cram terkejut sehingga hanya mampu ketawa ketika melihat masa yang dicatatkan Noah Lyles di skrin apabila mengatakan ia tidak mungkin benar.