Impak kehadiran Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek dilihat sudah mula dirasai barisan pemain muda negara selepas kejayaan mengungguli acara perseorangan dan beregu lelaki di kejohanan Terbuka Remaja Jerman, semalam.
Saingan yang berlangsung di Sportarena Berlin itu menyaksikan Kok Jing Hong menumpaskan pemain dari Indonesia, Alvi Wijaya Chairullah 21-15, 21-15 dalam tempoh 25 minit pada perlawanan akhir.
Sementara itu, pasangan Wan Arif Wan Junaidi dan Mohd Haikal Nazri pula bangkit daripada kekalahan 13-21 pada set pertama ketika bertemu Muhammad Rayhan Nur Fadillah-Rahmat Hidayat untuk menang dua set berikutnya dengan keputusan 21-18, 21-16.
Kejayaan pasangan beregu lelaki negara itu turut menebus kekecewaan apabila mereka ditewaskan lawan yang sama pada aksi final Kejohanan Antarabangsa Belanda 2020, beberapa hari sebelum kejohanan di Berlin itu bermula.
Menurut sumber Berita Harian, Datuk Misbun jelas gembira dengan kejayaan yang diraih dan mahu anak buahnya terus mengekalkan tumpuan bagi menghadapi mana-mana pertandingan disertai.
“Syukur alhamdulillah dapat melihat kejayaan Kok Jing Hong dan pasangan Arif Junaidi-Muhammad Haikal muncul juara Terbuka Remaja Jerman German selepas masing-masing menewaskan wakil Indonesia.”
“Saya beranggapan ia adalah satu permulaan dan mereka harus kekal fokus bagi berdepan kejohanan akan datang,”
Datuk Misbun Sidek mula diberikan tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai pemain remaja pada 4 Februari lalu dan tugasan lamanya sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki pada ketika ini disandang oleh jurulatih kelahiran Indonesia, Hendrawan.
Kredit foto: Badminton Association of Malaysia (BAM)