Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengesyorkan penghentian sementara bagi penggunaan vaksin Johnson & Johnson di negara tersebut. Ini berikutan laporan terdapat risiko di antara suntikan vaksin COVID-19 keluaran syarikat tersebut dengan kejadian darah beku.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FDA, selepas penggunaan sebanyak 6.8 juta dos suntikan, terdapat enam orang wanita di bawah usia 50 tahun mengalami masalah tersebut. Syarikat Johnson & Johnson dilaporkan sedang menghentikan penghantaran vaksin keluaran mereka ke pasaran Eropah selepas menerima syor dari FDA.

Sebelum ini, vaksin AstraZeneca dihentikan sementara oleh pengawal selia Kesatuan Eropah berhubung vaksin berkenaan dikaitkan dengan risiko darah beku. Selepas mendapat kebenaran semula pada pertengahan bulan Mac, beberapa negara seperti Sepanyol, Itali, Belanda, Portugal dan Perancis memaklumkan negara masing-masing akan menyambung kembali suntikan AstraZeneca.

Ini susulan laporan daripada Agensi Perubatan Eropah mengesahkan vaksin itu adalah selamat untuk digunakan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan pengawasan ubat-ubatan Britain kemudiannya turut mengisytiharkan suntikan AstraZeneca adalah selamat dan berkesan.

Vaksin satu dos oleh Johnson & Johnson serta vaksin AstraZeneca merupakan pilihan vaksin yang lebih murah, selain lebih mudah disimpan dan diangkut berbanding beberapa keluaran vaksin yang lain. Malaysia tidak meneruskan tempahan vaksin keluaran Johnson & Johnson berikutan ketersediaannya yang terlalu lewat iaitu pada penghujung tahun ini.

Sumber: