Apabila melalui rak pendingin di pasar raya, sudah pasti kita akan melihat deretan marjerin dan mentega secara bersebelahan. Marjerin dan mentega merupakan dua bahan penting yang selalu digunakan dalam masakan. Tidak kira sama ada untuk menyediakan kek atau biskut, kedua-duanya mempunyai kegunaannya yang tersendiri dalam menyedapkan sesuatu masakan.
Namun begitu, setiap kali nak buat pilihan antara marjerin dan mentega, pasti ramai yang terkeliru.
Cara pembungkusan dan rupa keduanya nampak serupa, namun sebenarnya terdapat banyak perbezaan antara kedua bahan ini yang mungkin anda tak tahu.
Apakah itu marjerin?
Marjerin adalah mentega buatan yang diperbuat daripada kombinasi lemak haiwan dan lemak sayuran. Ia juga mengandungi susu saringan, garam dan pengemulsi. Proses pembuatannya menggunakan hydrogenation iaitu apabila minyak sayuran berbentuk cecair ditukarkan kepada pepejal atau separa pepejal.
Luarannya mempunyai warna yang lebih kuning berbanding mentega. Marjerin juga boleh dibiarkan agak lama pada suhu bilik tanpa merubah teksturnya. Kegunaan utama marjerin adalah untuk membuat biskut, kek-kek tradisional, kuih muih dan lain-lain.
Contoh jenama marjerin yang terkenal adalah seperti Planta, cap Pelangi dan juga Daisy. Harga marjerin juga lebih murah sekiranya dibandingkan dengan mentega asli.
Apakah pula kandungan mentega?
Mentega ataupun dipanggil sebagai butter diperbuat daripada lemak susu dan juga lemak sayuran. Rupa luaran mentega biasanya berwarna lebih pucat berbanding marjerin.
Proses pembuatan mentega melibatkan proses churning, pempasteuran dan pemadatan. Dari segi tekstur, mentega lebih mudah lembut dan cair pada suhu bilik.
Ia mempunyai kandungan vitamin yang lebih tinggi seperti Vitamin A, E, K yang tidak larut dalam air. Cara penyimpanan mentega yang terbaik adalah dengan disimpan di dalam peti sejuk. Kebiasaannya, mentega digunakan untuk memasak makanan bayi, makanan barat, menumis sup pekat, membuat kek, pastri dan sebagainya.
Harga mentega biasanya lebih mahal, lebih-lebih lagi yang dilabelkan sebagai pure butter. Antara jenama mentega yang terkenal di Malaysia termasuklah Anchor, Golden Churn dan SCS.
Buttercup adalah mentega atau marjerin?
Terdapat juga produk campuran marjerin dan mentega yang digelar sebagai lepa susu. Ramai yang keliru dan menganggap ia adalah sebagai mentega.
Antara jenama yang termasuk dalam kategori ini adalah Buttercup, Butterlite, Butterich dan lain-lain.