Pihak berkuasa mengarahkan kawasan pendakian rekreasi terkenal, Bukit Broga di Semenyih ditutup selama dua minggu bermula Sabtu 27 Jun 2020.

Ia berikutan berlakunya insiden perlanggaran tatacara pengendalian piawai (SOP) ketika kawasan rekreasi tersebut dibuka pada hujung minggu lepas.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No 7)2020.

Sebelum ini pada 22 Jun lepas, Bukit Broga dilaporkan sesak di kawasan pintu masuk berikutan pertambahan jumlah pengunjung yang mahu berekreasi di sana.

Ia berpunca daripada penguatkuasaan kawalan kendiri yang dilakukan oleh pemilik tanah dan pengendali parkir di kawasan rekreasi berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Kamarul lzlan Sulaiman berkata, kawalan itu dilakukan bagi memastikan pendaki yang datang mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu menjalani menjalani pemeriksaan suhu serta direkodkan kehadirannya .

Katanya, langkah itu juga seiring dengan saranan MPKJ yang meminta pihak berkenaan berbuat demikian.

“Bukit Broga berada di bawah seliaan MPKJ, namun setakat ini, tiada pegawai ditempatkan secara khusus di situ memandangkan kawalan ke laluan masuk dilakukan pemilik tanah serta pengendali parkir.

“Kita tidak jangka pendaki yang datang seramai itu dan ia mungkin rentetan daripada kebenaran melakukan aktiviti mendaki dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

“Lagipun, kawasan itu memang menjadi tumpuan pendaki sebelum ini jadi mereka tentunya mengambil kesempatan untuk datang pada hujung minggu lalu,” katanya.

Beliau mengulas mengenai gambar ‘kesesakan’ pendaki yang tular di laman sosial.

Kamarul Izlan berkata, pemilik tanah diharap mengambil alternatif untuk mengawal kesesakan antaranya menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Katanya, langkah itu bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini akan berlaku.

“Jika perkara itu berada di luar kawalan, MPKJ akan mengambil tindakan lebih efektif antaranya meletakkan pegawai terutama pada waktu puncak.

“Pada masa sama, pemilik tanah perlu membuat kawalan kendiri dan apa saja langkah diambil perlu mengambil kira keselamatan pendaki yang sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan pendakian adalah antara aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan oleh kerajaan bermula 15 Jun lalu.

Namun, pendaki perlu mematuhi amalan penjarakan sosial serta SOP yang ditetapkan.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: