Instagram mengumumkan akan melancarkan ciri terbaru yang membolehkan pembuat video menjana pendapatan sendiri melalui iklan dan ‘Badges’, menurut laporan TechCrunch.
‘Badges’ membolehkan penonton memberi sumbangan ketika saluran kegemaran mereka sedang membuat siaran langsung. Ciri ini hampir sama seperti yang dibuat oleh YouTube dan Twitch.
Pengguna yang menyumbang ‘Badges’ kepada pembuat video akan membolehkan komen mereka terpapar dengan lebih jelas ketika siaran langsung berbanding pengguna tanpa sumbangan Badges.
Difahamkan penonton boleh membeli ‘Badges’ berbentuk hati yang harganya bermula daripada USD0.99 untuk satu hati, USD1.99 untuk dua hati atau USD 4.99 untuk lima hati.
Selepas membeli ‘Badges’, ia akan terpampang di sebelah nama penonton sepanjang siaran langsung. Ini membolehkan pembuat video boleh mengenalpasti peminat mereka yang menyumbang untuk diberikan penghargaan.
Dalam erti kata lain, ciri ‘Badges’ ini berfungsi lebih kurang sama dengan ciri ‘Stars’ dalam Facebook Live dan Facebook Gaming. Di dua platform ini, pembuat video boleh menjana pendapatan melalui sumbangan ‘Stars’ yang dibelanja oleh penonton atau meletakkan iklan dalam siaran langsung mereka.
Penambahan baru ini disambut gembira oleh pembuat video di platform Instagram, seperti Khairulaming.
Ciri baru ‘Badges’ ini akan dilancarkan bermula Jun 2020 di beberapa akaun Instagram pembuat video yang terpilih. Dalam fasa percubaan ini, Instagram difahamkan tidak akan mengambil syer daripada hasil penjualan ‘Badges’.
Apabila fasa percubaan ini tamat, barulah pembuat video perlu berkongsi pendapatan dengan Instagram.
Pelancaran ciri baru ini datang tepat pada masanya ketika Instagram menyaksikan peningkatan tontonan yang memberangsangkan di IGTV ketika dunia berkurung di rumah ssulan wabak COVID-19.
Instagram mendedahkan jumlah tontonan IGTV meningkat 70% dari tempoh Februari ke Mac 2020.
Sementara itu, iklan IGTV di Instagram pula akan muncul apabila penonton mengklik video IGTV daripada previu di garis masa mereka. Iklan ini akan dipaparkan dalam paparan mobil dan berdurasi maksimum 15 saat.
Bloomberg sebelum ini melaporkan pengenalan ciri terbaharu di Instagram ini adalah salah satu usaha mereka untuk menyaingi YouTube.