Percaya atau tidak, Biskut Raksasa merupakan jenama biskut yang paling hangat diburu di pasaran ketika ini, terutamanya oleh pelajar kolej dan universiti.
Untuk pengetahuan anda, Biskut Raksasa merupakan sejenis biskut buatan di rumah yang dicampur dengan dadah ganja. Ia adalah salah satu cara – selain membakar – yang dibuat oleh pengguna ganja untuk mendapatkan kesan-kesan penggunaan ganja.
Apakah kesan-kesan penggunaan ganja?
Sebelum kita bercakap tentang kesan-kesan penggunaan ganja, kita kena tahu ganja secara asasnya mempunyai dua jenis: indica dan sativa.
Kedua-dua jenis ganja ini mempunyai kesan yang berbeza.
Ganja jenis sativa dikatakan dapat membuatkan penggunanya rasa khayal di kepala. Ia dapat mententeramkan pengguna yang tertekan atau ada serangan keresahan (anxiety attack) serta meningkatkan kreativiti. Kebiasaannya, pengguna ganja sativa menggunakannya pada waktu siang.
Ganja jenis indica pula dikatakan dapat membuatkan penggunanya rasa mengantuk. Ia kerap digunakan untuk merawat pesakit yang sukar tidur atau sedang berdepan kesakitan seperti kemoterapi. Sebab itulah indica kerap digunakan pada waktu malam berbanding siang.
TETAPI walaupun ganja dikatakan mempunyai manfaatnya, ia tetap mempunyai kesan-kesan sampingan – terutamanya apabila pengguna mengambil dos berlebihan. Antaranya:
- mulut kering
- mata kering
- pening
- paranoia
- badan lemah-lemah
- kadar degupan jantung meningkat
- tekanan darah menurun
- batuk dan masalah pernafasan lain (jika ganja dibakar)
Apa yang membuatkan ganja sejenis dadah?
Seperti daun ketum, daun ganja dikira dadah kerana ia mengandungi bahan kimia yang berpotensi memberi kesan mudarat kepada badan penggunanya jika dosnya tak dikawal.
Dua bahan kimia utama yang ada dalam daun ganja adalah tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD).
- THC merupakan bahan psikoaktif paling utama dalam ganja. Ia bertanggungjawab membuatkan pengguna ganja khayal dan ‘gembira’ (kerana perembesan hormon dopamine).
- CBD merupakan bahan bukan-psikoaktif dalam ganja. Ia tidak membuatkan pengguna ganja khayal. Sebaliknya ia mempunyai manfaat dalam pengurangan kesakitan.
Apakah hukuman menggunakan ganja di Malaysia?
Mungkin ada yang tahu, sesetengah negara membenarkan penggunaan ganja secara perubatan dan rekreasi seperti di sesetengah negeri di Amerika Syarikat, Argentina, Australia, Kanada, Belanda dan Jerman contohnya.
Di ASEAN, hanya Thailand dan Filipina yang membenarkan penggunaan ganja – tetapi terhad kepada tujuan perubatan sahaja.
Sementara itu di Malaysia, undang-undang kita masih lagi mengharamkan ganja. Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 melarang pemilikan ganja. Sabit kesalahan, anda boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun atau denda tak melebihi RM20,000.
Di bawah seksyen 39A akta sama, anda boleh dihukum penjara MINIMUM 5 tahun dan MINIMUM 10 sebatan jika memiliki lebih 50 gram ganja.
Biskut Raksasa alternatif bagi pengguna ganja
Walaupun ganja diharamkan di Malaysia, ia tetap popular terutamanya dalam kalangan pelajar (walaupun tidak sepopular syabu).
Menurut laporan Kementerian Pendidikan pada tahun 2017, walaupun kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar masih dianggap rendah (sekitar 0.03% atau 1,410 daripada 4.7 juta pelajar), jumlah tersebut semakin meningkat.
Daripada 1,410 pelajar, majoriti (75.68%) mengambil syabu. 16.73% mengambil ganja, 5.17% mengambil candu, 2.23% mengambil pil amphetamine dan selebihnya mengambil pil ketamin.
Perlu diingat, jumlah statistik ini belum lagi mengambil kira pengguna-pengguna dadah yang belum ‘kantoi’.
Dalam konteks penyalahgunaan ganja, semakin banyak pelajar beralih kepada Biskut Raksasa untuk memastikan kegiatan mereka sukar dihidu oleh polis dan ibu bapa.
Biskut Raksasa secara analoginya boleh diibaratkan seperti vape. Dari pandangan mata kasar, ia nampak innocent. Tetapi hakikatnya ia hanya alternatif lain untuk mendapatkan dadah.
Bagaimana Biskut Raksasa dibuat dan dijual
Kebanjiran resepi membuat Biskut Raksasa di Internet membuatkan semakin ramai pengedar dadah beralih kepada penjualan biskut tersebut untuk dijual kepada pelajar.
Cara membuatnya pula tak banyak berbeza dengan cara membuat biskut biasa.
Apa yang pengedar Biskut Raksasa perlu buat terlebih dahulu adalah membakar daun ganja terlebih dahulu dalam ketuhar pada suhu 110-120 darjah Celcius selama 30-40 minit.
Kemudian daun ganja yang telah dibakar dalam ketuhar ini akan dicampur dengan mentega cair – ramuan paling penting untuk membuat biskut.
Selepas mencampurkan daun ganja dengan mentega cair, anda boleh terus buat biskut seperti biasa. Produk akhir yang anda dapat inilah yang dipanggil Biskut Raksasa.
Tetapi ada juga pengedar biskut ini yang mencampurkan ganja jenis cecair dalam mentega cair. Cara mereka mungkin lain, tetapi hasilnya tetap sama.
Kebiasannya Biskut Raksasa dijual menerusi Facebook Group rahsia. Sebalang kecil Biskut Raksasa dijual dengan harga RM60. Sedangkan biskut biasa pada saiz sama dijual pada harga RM25.
Untuk masuk dalam Facebook Group ini, anda perlu mendapat rujukan daripada pembeli lain. Jika tidak, anda tak boleh beli. Melalui cara ini, pengedar dapat menapis polis yang menyamar daripada masuk ke Facebook Group mereka.
Pengedar Biskut Raksasa kaya-raya
Meskipun jumlah orang yang membeli Biskut Raksasa tidak sebanyak jumlah orang yang membeli biskut biasa, pengedar masih mampu memperolehi keuntungan besar kerana margin harga produk dan jumlah pengulangan pesanan dari pelanggan yang tinggi.
Baru-baru ini, polis melaporkan penangkapan sepasang kekasih berusia awal 40-an kerana menjual Biskut Raksasa sejak April 2020.
Ketika ditangkap, polis menjumpai beberapa buah kenderaan, wang tunai, bar emas sebanyak 515 keping dan bar perak sebanyak 400 keping. Kesemua nilai rampasan ini dianggarkan bernilai RM277,834!
Bayangkan baru 3 bulan menjual biskut ini, pasangan itu berjaya mengumpul aset lebih RM200,000!
Bagaimanapun risiko yang mereka perlu hadapi selepas ditangkap, sangatlah tak berbaloi.
Menurut polis, pasangan tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.