Pepatah Melayu ada menyebutkan: “Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.” Walaupun pepatah ini sebenarnya membawa maksud orang pendiam jangan disangka sebagai pengecut, secara literalnya buaya yang tinggal di air masin ataupun air tawar memang menyerang sewaktu keadaan dilihat tenang dan tidak merbahaya.
Menerusi sumber berita kebanyakan serangan buaya terhadap manusia di negara ini biasanya dihadapi oleh kaki pancing, terutamanya sekali pemancing udang galah.
Di Sarawak sahaja terdapat 180,000 ekor buaya
Sarawak merupakan negeri paling banyak mencatatkan konflik antara buaya dengan manusia di negara kita. Menurut Timbalan Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Engkamat Lading, pemerhatian yang dilakukan oleh jabatan itu menunjukkan terdapat lapan hingga 12 ekor buaya bagi setiap kilometer sungai tersebut.
Berdasarkan pemerhatian jabatan tersebut, mereka menganggarkan terdapat hampir 180,000 ekor buaya di negeri ini. Spesies yang paling banyak adalah buaya air masin, ataupun dikenali sebagai nama buaya tembaga atau buaya katak dalam kalangan masyarakat tempatan. Pemerhatian dan tinjauan tersebut dilakukan di Batang Baram, Batang Sadong, Batang Samarahan, Sungai Seblak, Sungai Sebuyau, Batang Lupar, Sungai Lingga dan Batang Krian.
Tahukah anda, buaya juga merupakan reliks atau keturunan terakhir haiwan dinosaur yang masih wujud dan dikekalkan di muka bumi ini?
Berdasarkan statistik serangan buaya yang direkodkan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sejak tahun 1941 sehingga 1980, sebanyak 25 kes serangan buaya telah dilaporkan berlaku di negeri ini dan semua mangsa serangan meninggal dunia. Manakala dari tahun 1981 sehingga November 2018, terdapat 151 kes serangan buaya direkodkan dan daripada jumlah itu hanya 70 orang mangsa yang selamat.
Sebanyak 60 lesen memburu buaya dikeluarkan sejak dua tahun lalu sebagai langkah mengawal peningkatan populasi reptilia itu bagi mengelakkan wujud konflik dengan manusia di Sarawak.
Udang dan buaya berkongsi habitat yang hampir sama
Seperti buaya, udang galah juga mendiami muara sungai. Ada beberapa petua daripada pemancing tegar udang galah tentang habitat haiwan tersebut yang boleh kami kongsikan di sini:
1 – Kenali struktur dasar sungai tempat di mana kita memancing. Selalunya dasar sungai tersebut berliku-liku dan beralun-alun.
2 – Pada sungai lazimnya aliran air agak perlahan atau alirannya tidak terlalu deras.
3 – Arus deras menandakan kawasan tersebut lebih dalam, manakala aliran perlahan pula adalah sebaliknya.
Tiada perkaitan saintifik yang boleh dibuktikan di antara keberadaan udang galah dengan buaya di satu-satu habitat. Sungguhpun begitu, pemancing tegar dan nelayan sememangnya mengakui perkaitan di antara si sepit biru dan sang bedal ini.
Abah pernah pesan… Kalau p mancing dapat udang besar² macam ni, lepas dapat 7 ekor kena tukar tempat. Sebab selalunya tempat banyak udang, banyaklah buayanya..
— Cantik🦓 (@_juststaypretty) March 10, 2021
Mengapa konflik antara buaya dan manusia tercetus?
Sejak akhir-akhir ni, terlalu banyak kes serangan buaya terhadap pemancing dan nelayan. Hal ini berkemungkinan tercetus daripada beberapa faktor:
1 – Habitat asal buaya telah diganggu. Ini menyebabkan buaya keluar dari habitat asal dan memasuki kawasan yang didiami oleh manusia.
2 – Kekurangan sumber makanan. Habitat asal yang telah diancam pembangunan telah menyebabkan buaya menyerang manusia.
3 – Berasa terancam. Sebagai raja reptilia di dalam air, buaya hanya akan menyerang manusia apabila merasa dirinya terancam.
Sekiranya anda mempunyai aktiviti yang mahu dilakukan berdekatan dengan kawasan sungai, sentiasa peka dengan keadaan sekeliling anda. Selain itu juga, lazimkan diri untuk bertanya dengan penduduk setempat tentang keberadaan sang bedal di kawasan tersebut.