Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah seolah-olah memberikan bayangan bahawa beliau dan bekas suaminya, Aliff Aziz akan kembali berdamai setelah kedua-dua mereka bercerai pada 16 Mei 2019.

Meskipun tidak mengesahkan perkara tersebut, tetapi komen yang diberikan pelakon kelahiran Sandakan, Sabah itu dalam laporan dikeluarkan Harian Metro seperti memberikan petunjuk kepada perkembangan tersebut.

Sehubungan dengan itu, Bella turut mengharapkan semua pihak dapat mendoakan segala yang terbaik buatnya.

“Keluarga saya dan Aliff sudah berbincang mengenai hubungan kami. Apabila tiba masanya nanti, kami akan kongsikan juga. Sekarang saya tidak boleh kongsi apa-apa kerana mahu menghormati permintaan keluarga masing-masing.”

“Saya mohon semua doakan yang baik-baik. Apapun yang terbaik untuk saya dan anak Ayden, saya sedia terima itu sebagai takdir Allah,” ujar Bella kepada wartawan Harian Metro.

“Ramai orang tidak faham dan cakap orang lain pun bercerai serta ada anak tetapi masih boleh teruskan hidup. Biarlah beribu kali saya jelaskan, orang masih ingat saya pentingkan diri sendiri.”

“Kalau saya pentingkan diri, saya masih ada keluarga yang sentiasa kuat memberi nasihat dan pasti menegur jika saya buat keputusan tidak betul. Alhamdulillah, mereka sangat memahami dan nampak kebaikan terhadap apa yang saya lakukan.”

Dalam perkembangan sama, Bella turut berkongsikan detik sedih yang melibatkan anaknya, Ayden ketika bertemu Aliff di Singapura.

“Orang tidak tahu situasi setiap kali saya bawa Ayden balik Malaysia dari Singapura selepas melawat Aliff. Dia akan menangis tak henti setiap kali di lapangan terbang, menjerit-jerit dan tarik tangan Aliff minta pulang bersama.”

“Itu membuatkan saya sangat sedih. Banyak yang saya pertimbangkan dalam hal ini dan pasti ada berkata saya juga punca mereka terpaksa berpisah,” katanya.

Kredit foto: lepatpisang.com