Sekiranya anda meminati kumpulan muzik Nirvana, sudah tentu kulit album ikonik Nevermind terbayang di dalam kepala. Kulit album tersebut menampilkan seorang bayi yang tidak berpakaian bersama wang kertas dolar Amerika $1.

Berusia 30 tahun pada hari ini, bayi tersebut Spencer Elden yang pada ketika itu berusia 4 tahun mahu menyaman kesemua 15 individu dan syarikat yang terlibat di dalam pembikinan album Nirvana – Nevermind. Menurut laporan BBC, Elden mendakwa bahawa gambar yang digunakan oleh Nirvana pada tahun 1991 itu menyalahi undang-undang dan digunakan tanpa mendapat persetujuan.

Tuntutan ganti rugi tersebut dibuat atas kesalahan mengeksploitasi kanak-kanak kerana memperlihatkan gambarnya dalam keadaan berbogel.

Album terjual 30 juta unit

Kredit gambar: https://www.yourtango.com/entertainment/nirvanas-nevermind-album-cover-under-canceled

Album Nevermind mula direkodkan pada bulan April 1990 di studio Sound City, California. Kemudiannya disambung pada tahun berikutnya iaitu dari bulan Mei hingga Jun 1991 di studio Smart di Wisconsin. Bermodalkan RM272,000 (USD$65,000), album tersebut merupakan salah satu album rock paling laris pernah dihasilkan dengan terjual lebih 30 juta di seluruh dunia.

Album Nevermind tersebut mengandungi 13 lagu dengan lagu-lagu terkenal Nirvana seperti “Smells Like Teen Spirit”, “Come as You Are”, “Lithium” dan “In Bloom”.

Idea gambar kulit album itu datang dari cadangan Kurt Cobain sendiri yang pernah menonton video kelahiran bayi di dalam air bersama Dave Grohl. Namun begitu, gambar-gambar yang dicadangkan oleh Pengarah Seni mereka, Robert Fisher tidak menepati idea Cobain. Fisher kemudiannya menghantar seorang jurugambar, Kirk Weddle untuk mengambil gambar Spencer Elden iaitu seorang bayi lelaki kepada kawannya untuk dijadikan model di dalam penggambaran tersebut.

Spencer Elden yang kini berusia 30 tahun turut mendedahkan, ibu bapanya juga tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian bagi membenarkan gambarnya itu digunakan pada album.

Tuntut ganti rugi setelah dewasa

Kredit gambar: https://www.nytimes.com/2021/08/25/arts/music/spencer-alden-nirvana-nevermind.html

Gambar bayi yang tidak diseksualkan secara amnya tidak dikategorikan sebagai pornografi kanak-kanak di bawah undang-undang Amerika Syarikat. Namun begitu peguam Elden, Robert Y. Lewis, berpendapat bahawa kepingan wang dolar yang turut ditampilkan dalam gambar itu menampakkan bayi itu kelihatan seperti buruh seks.

Kes undang-undang juga menuduh bahawa Nirvana telah berjanji untuk menutup kemaluan Elden dengan pelekat, tetapi perjanjian itu tidak dapat disahkan. Elden turut mendakwa identiti sebenarnya dan namanya sering terkait dengan eksploitasi seksual komersial yang dilaluinya sebagai anak di bawah umur.

Beliau juga mendakwa melalui penderitaan dan akan terus mengalami tekanan seumur hidup susulan daripada hasil karya album itu termasuk tekanan emosi yang melampau dan kekal serta gangguan kepada pembesarannya dan kemajuan pendidikannya serta memerlukan rawatan perubatan dan psikologi. Elden menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya RM630,000 (USD$150,000) daripada setiap seorang 15 defendan yang turut melibatkan anggota band Nirvana yang masih hidup iaitu Dave Grohl dan Krist Novoselic; pengurus aset kepada mendiang Kurt Cobain; bekas isteri Cobain Courtney Love dan jurugambar tersebut Kirk Weddle.