Kini, terdapat lambakan jualan buah baby nanas dengan kemanisan melampau. Suatu ketika dahulu, pernah viral isu baby nanas ini kerana dikaitkan dengan penggunaan bahan pemanis tiruan yang terlarang.

Baby nanas merupakan nama gelaran yang diberikan kepada buah nanas kecil yang dijual dengan kulitnya sudah sedia dikupas. Rasanya pula sangat manis apabila dimakan. Buah baby nanas ini diimport daripada negara Thailand.

Isu pemanis tiruan di dalam baby nanas ini telah dikupas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2019 lagi. Selain Malaysia, pemanis tiruan yang digelar sebagai natrium siklamat ini juga diharamkan di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat.

Ini latar belakang pemanis tiruan tersebut serta risikonya.

Apakah yang dimaksudkan dengan siklamat?

Kredit gambar: Shopee

Siklamat merupakan sejenis pemanis tiruan tanpa zat (artificial sweetener) berkod 952 yang mempunyai tahap kemanisan 30 hingga 50 kali ganda berbanding gula putih atau sukrosa. Pemanis tiruan ini biasanya digunakan bersama dengan pemanis lain seperti saccharin (bernisbah 10:1) untuk mendapatkan rasa manis yang optimum.

Bahan kimia siklamat ini wujud dalam bentuk garam kalsium atau natrium siklamat. Ia sering digunakan oleh peniaga kerana faktor mudah didapati di negara seperti Thailand. Selain itu juga, pemanis tiruan ini dijual dengan harga yang murah.

Selain daripada buah-buahan, siklamat ini juga digunakan di dalam pembuatan ubat. Ini kerana, bahan kimia ini mampu menghilangkan rasa pahit terutamanya bagi ubat antibiotik.

Bahaya pengambilan siklamat

Kredit gambar: MHF

Berdasarkan dapatan kajian pada tahun 1966, sesetengah bakteria di dalam usus besar boleh menukarkan siklamat kepada bahan kimia toksin cyclohexylamine. Terdapat juga kajian yang melaporkan bagaimana siklamat dan persediaannya mempunyai potensi untuk menjadi punca kepada masalah kanser.

Semua makanan yang dieksport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

Peraturan-Peraturan Makanan 1985 tidak membenarkan penggunaan siklamat dalam buah-buahan segar termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan. Sebarang pelanggaran terhadap peraturan ini adalah satu kesalahan.