Gergasi telekomunikasi Asia Tenggara, Axiata Berhad dilaporkan sedang membida lesen perbankan digital daripada Bank Negara Malaysia. Bidaan tersebut akan dilakukan bersama-sama dengan RHB Bank. Menurut pengumuman yang dibuat oleh Lembaga Pengarah kedua-dua buah syarikat kepada Bursa Malaysia, Axiata dan RHB pada hari ini telah bersetuju untuk menandatangani satu memorandum persefahaman.

Memorandum tersebut adalah persetujuan bersama oleh kedua-dua buah syarikat bagi meneroka peluang kerjasama untuk memberikan perkhidmatan yang lebih jitu kepada jutaan pelanggan mereka. Antara peluang kerjasama yang bakal dimetrai adalah seperti berikut:

  1. Meningkatkan mutu khidmat pelanggan secara digital antara kedua-dua syarikat;
  2. Memohon lesen perbankan digital secara bersama daripada Bank Negara Malaysia dan
  3. Untuk meneroka peluang kerjasama lain yang dilihat bersesuaian.

Perjanjian persefahaman ini dimetrai selama dua tahun dan boleh diperbaharui dengan persetujuan kedua-dua belah pihak. Konsortium yang memohon lesen perbankan digital ini akan diterajui oleh anak syarikat Axiata Berhad iaitu Boost Holdings Sdn Bhd dengan pegangan sebanyak 60 peratus. Manakala baki 40 peratus pegangan lagi akan dipegang oleh RHB Bank.