Pada tahun 2020, statistik menunjukkan sebanyak 7.9 bilion minuman tenaga Red Bull dijual di seluruh dunia. Jumlah tersebut secara nisbahnya menyamai setiap orang penduduk di dunia meminum satu tin Red Bull. Pada tahun itu, dianggarkan penduduk dunia berjumlah 7.8 bilion.
Jualan memberangsangkan tersebut terhasil daripada pasaran agresif seperti Turki, Jerman dan Russia. Jumlah jualan Red Bull juga meningkat pada tahun tersebut kepada $7.279 bilion berbanding $7.027 bilion pada tahun 2019.
Bermula di Thailand pada tahun 1981, pada hari ini Red Bull menakluk dunia sebagai jenama minuman tenaga paling bernilai. Menurut Statista, jenama dengan slogan “Red Bull gives you wings” ini bernilai $15.99 bilion pada tahun 2020.
Ini kisah asal usul Red Bull.
Bermula sebagai pesaing kepada Livita
Minuman tenaga ini telah dicipta oleh seorang ahli farmasi dan usahawan Thailand yang bernama Chaleo Yoovidhya. Diberi nama sebagai Krating Daeng yang bermaksud lembu jantan merah, ia diperkenalkan pada tahun 1975. Lembu jantan merah yang sasa ini merupakan lambang kemegahan dan tenaga bagi rakyat Thailand.
Pada permulaannya, ia dicipta dengan mengandungi air, gula tebu, kafien, taurin, inositol dan vitamin B. Pesaing utama Red Bull pada ketika itu adalah jenama Livita yang lebih awal lagi dipasarkan, kira-kira 13 tahun sebelum itu.
Namun begitu, sebagai minuman yang diimport dari Jepun, Livita mempunyai harga yang tinggi. Ini lantas menyukarkan golongan rentan yang bekerja sebagai petani dan peladang untuk menikmati minuman ini.
Selain itu juga, Chaleo Yoovidhya turut menaja aktiviti sukan Muay Thai yang merupakan sukan yang paling terkenal di Thailand. Lantas, Krating Daeng menembusi pasaran sebagai minuman tenaga tempatan yang lebih murah, lantas menjadi pilihan.
Dari Krating Daeng kepada Red Bull
Dietrich Mateschitz telah berkunjung ke Thailand untuk bertemu dengan Chaleo Yoovidhya. Perjumpaan ini adalah di bawah permintaan majikan Dietrich, Blendax bagi bekerjasama dengan TC Pharmaceutical milik Chaloe.
Setibanya di Thailand, Dietrich keletihan dan mula meminum Krating Daeng. Minuman tenaga tersebut berkesan meredakan jet leg dan kelesuan yang menghantui beliau selepas penerbangan yang panjang. Maka, Dietrich melihat peluang untuk mengembangkan Krating Daeng di benua Eropah.
Perbincangan bersama Chaleo, Dietrich akhirnya bersetuju untuk membuka Red Bull GmbH. Kedua-dua mereka melaburkan sebanyak $500,000 ke syarikat baru ini dengan pegangan saham masing-masing sebanyak 49 peratus. Baki 2 peratus saham lagi dipegang oleh anak Chaleo, Chalerm.
Strategi pemasaran Krating Daeng pula kekal sebagai minuman tenaga yang mampu milik di Thailand.
Red Bull dan strategi pemasaran
Antara tahun 1984 dan 1987, Red Bull telah mengubah formulasi minuman ini mengikut selera pengguna di Eropah. Pada 1987, Red Bull GmbH mula menggunakan Red Bull sebagai jenama rasmi minuman mereka.
Dietrich Mateschitz telah menggunakan kaedah yang berbeza untuk memasarkan minuman Red Bull kepada masyarakat di sana. Ini kerana, Red Bull bukan dipasarkan sebagai minuman tenaga murah di Eropah.
Minuman tenaga ini lebih fokus kepada golongan muda yang gemar berkunjung ke kelab malam. Ramai golongan muda di sana menggemari minuman tersebut sehingga jualannya semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Sebagai minuman tenaga, Red Bull mula menaja kelab-kelab bola sepak dan sukan lasak. Hasilnya, Red Bull dikenali di seluruh pelusuk dunia.
Red Bull pada hari ini
Penajaan terawal Red Bull adalah kepada sukan lasak. Secara rasminya, sukan Formula 1 diceburi oleh Red Bull dengan tajaan kepada Sauber pada tahun 1995. Genap 10 tahun kemudian, pasukan Jaguar mengalami kerugian dan dilelong.
Maka, Red Bull membeli pasukan Jaguar dan menggantikannya sebagai Red Bull Racing. Pasukan tersebut kemudiannya meluncur sebagai antara pasukan terbaik Formula 1 dan sentiasa menjadi pesaing kepada Mercedes dan Ferrari.
Selain itu juga, mereka juga memiliki beberapa kelab bola sepak. Dengan pemasaran yang begitu meluas, Red Bull akhirnya meninggalkan Livita dan menjadi minuman bertenaga paling ikonik.