Hari ini, hampir kesemua rakyat Malaysia masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan 3.0. Lima negeri sudah memenuhi tiga nilai ambang untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan berkuat kuasa pada hari ini. Negeri berkenaan adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis. Beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor pula berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
Ramai orang kehilangan pekerjaan dan sumber mata pencarian akibat sekatan pergerakan dan penutupan perniagaan semasa pandemik Covid-19. Kempen Bendera Putih adalah satu inisiatif yang kreatif dan tepat pada masanya dari rakyat kepada rakyat untuk membantu mereka yang kini sangat-sangat memerlukan.
Kempen bermula di Kelantan
Menurut laporan Astro Awani, Nik Faizah Nik Othman atau lebih mesra dengan panggilan ‘Kak Jah’ yang menjadi individu pertama mencetuskan idea Kempen Bendera Putih di media sosial pada penghujung Jun lalu. Menurut Kak Jah, idea itu datang secara spontan apabila beliau terbaca berita tentang kes kematian bunuh diri yang semakin hari semakin meningkat. Terkesan daripada berita menyayat hati tersebut mendorong beliau untuk berfikir bagaimana cara terbaik untuk menolong golongan yang sedang berada di dalam kesusahan.
Oleh itu, tercetusnya idea untuk mengibarkan bendera putih dan mereka yang duduk berdekatan boleh bantu dengan segera. Kempen ini bukan sahaja menolong orang yang susah, malah juga golongan yang mengalami depresi. Pada pandangan beliau, ramai orang mempunyai gangguan emosi akibat isu kewangan baik golongan B40 atau M40.
Kempen ini mencetuskan polemik yang berbeza-beza. Sebenarnya adalah tidak patut untuk memberi fokus kepada polemik dan pertikaian mengenai Kempen Bendera Putih yang dimulakan oleh rakyat, sebaliknya terus bergerak menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya. Kempen ini diadakan semata-mata untuk menunjukkan keprihatinan rakyat terhadap mereka yang memerlukan bantuan serta mencerminkan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Sokongan oleh NGO, PDRM dan Tun Mahathir
Di seluruh negara, Kempen Bendera Putih pantas mendapat sambutan hangat. Ramai yang mengibarkannya dan tak kurang pula NGO, syarikat peruncitan, anggota PDRM dan juga orang politik yang datang membantu menghantar barangan keperluan. Paling ketara, bantuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri melalui Pakej PEMULIH hanya akan diberikan mulai bulan Ogos. Maka, terdapat kelompongan masa selama satu bulan lagi untuk rakyat yang hilang mata pencarian untuk dibantu oleh orang awam dan syarikat persendirian.
Kempen Bendera Putih menerima sokongan positif oleh Kontinjen Polis Selangor yang komited mengenal pasti penduduk mengalami kekurangan makanan atau menghadapi masalah lain akibat pandemik Covid-19. Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, beliau telah mengarahkan anggotanya untuk mengenal pasti penduduk yang terjejas, malah usaha sedemikian akan dipertingkatkan. Menurut beliau lagi, pihaknya sedia memberikan bantuan kewangan, kaunseling dan bantuan lain mengikut kemampuan mereka.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyokong Kempen Bendera Putih. Menurut beliau, dengan mengibarkan bendera putih, rakyat yang ingin menyumbang lebih mudah untuk mengenal pasti siapa yang memerlukan bantuan. Pada pandangan beliau, kempen ini bukan bersifat politik.
Beliau turut memuji kempen berkenaan sebagai usaha yang baik kerana sekiranya tiada bantuan diberikan secara tidak langsung dikuatiri akan tercetus lebih kekecewaan. Keadaan ini boleh mendorong lebih banyak kes bunuh diri akibat penderitaan yang tidak lagi mampu ditanggung.
Bantuan pantas 99 Speedmart dan Econsave
Syarikat rangkaian peruncitan 99 Speed Mart Sdn Bhd turut menyokong kempen ini dengan menyediakan talian WhatsApp khusus kepada jiran yang terlihat bendera putih di kawasan mereka dan mahu membantu. Talian WhatsApp tersebut adalah 010-500 0099 dan setakat 3 Julai, 99 Speedmart telah mengedarkan sebanyak 2,545 pek bungkusan kepada mereka yang memerlukan.
Pasaraya Econsave Cash & Carry (Econsave) juga menyokong kempen ini di bawah inisiatif Econsave Prihatin. Setakat hari pertama ia mengumumkan bantuan, syarikat tersebut menerima lebih 300 pesanan melalui aplikasi WhatsApp. Econsave meminta orang ramai untuk mengambil gambar dan kongsikan alamat individu yang dikenal pasti menaikkan bendera putih kepada mereka ke nombor 016-213 7387 atau menghantar mesej ke Facebook EconsaveMY.