Biarpun bukanlah durian paling mahal, D197 atau lebih dikenali sebagai Musang King dikatakan mempunyai harga yang paling stabil. Ia mendapat permintaan yang berterusan dalam kalangan peminat raja buah di seluruh negara.
Sekiranya dibandingkan, purata harga maksimum dalam variasi durian iaitu sekitar RM70 sekilogram. Durian Duri Hitam D200 atau digelar Blackthorn yang masih lagi tertinggi dengan harga lebih RM80 sekilogram.
Durian D168 Udang Merah dijual pada harga sekitar RM40 sekilogram, durian D168 IOI dengan harga runcit RM33 sekilogram dan durian D24 pula berharga RM32 sekilogram. Antara variasi durian-durian ini, durian kampung juga mengalami kenaikan harga dengan purata runcit sekitar RM17 sekilogram.
Perbandingan harga ini tidak menentu mengikut musim dan pengeluaran. Harga durian Musang King setiap tahun berbeza, bergantung kepada hasil diperoleh. Ia pernah dijual sekitar RM100 sekilogram pada tahun 2015, dek kerana kekurangan hasil.
Ini kisah disebalik nama Musang King, yang sebelum ini dipanggil sebagai durian Raja Kunyit.
Pokok induk pertama Musang King
Biarpun seringkali kita dengar tentang Musang King dan tanamannya yang meluas di Raub, ia bukan berasal dari daerah tersebut. Menurut page Durian Monthong Tani, pokok induk asalnya tumbuh di Pulau Raya, sebuah pulau ditengah tengah Sungai Kelantan berdekatan dengan Pekan Tanah Merah.
Chung Ting Bun dari Pulau Raya menceritakan bahawa pokok durian Raja Kunyit yang pertama ditanam oleh moyangnya pada sekitar tahun 1800. Pokok induk Raja Kunyit hidup di Pulau Raya sehingga mati dipanah petir pada tahun 1974.
Sebelum kejadian itu, seorang peladang bernama Wee Chong Beng sempat mengambil dan membiak tunas pokok Raja Kunyit. Beliau kemudiannya mula menanam durian Raja Kunyit di dusun seluas dua hektar pada tahun 1970.
Selepas mengeluarkan hasil, Raja Kunyit hanya dipasarkan oleh Wee Chong Beng disekitar Tanah Merah dan Kota Bharu, Kelantan. Bagaimanapun, kerana rasanya yang agak pahit, ia hanya menerima permintaan dalam kalangan kaum Cina.
Saban tahun, Raja Kunyit mula mendapat permintaan yang tinggi dan mula ditanam secara besar-besaran di Gua Musang dan Raub, Pahang.
Pendaftaran sebagai durian D197
Wee Chong Beng kemudiannya telah berusaha untuk mendaftarkan klon ini dengan Jabatan Pertanian Malaysia. Pada tahun 1993, durian Raja Kunyit akhirnya didaftarkan sebagai D197, kira-kira 20 tahun kemudian.
Durian ini mula mendapat tempat dalam kalangan peminat tempatan dan antarabangsa apabila kebun di Raub dan Gua Musang mula mengeluarkan hasil. Hasil durian yang hanya berbuah antara lima ke tujuh tahun selepas ditanam ini dipasarkan di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain.
Kerana populariti dan permintaannya yang tinggi, harga durian Raja Kunyit ini melonjak dan tidak pernah jatuh.
Dinamakan sebagai Musang King
Chong Yok Fong atau dikenali sebagai Tina Chong merupakan seorang pereka fesyen yang memberi nama durian ini sebagai Musang King. Beliau bekerja selama lima tahun sebagai pereka fesyen di Singapura sebelum bertekad menjadi pekebun durian sepenuh masa.
Beliau mula menanam sebatang pokok durian Musang King pada tahun 1984, kira-kira 37 tahun lalu. Ia kemudiannya mengubah hidup anak kelahiran Gua Musang, Kelantan.
Asal usul durian Musang King di Gua Musang bermula apabila Tina mengahwinkan baka durian dari Kampung Pulau Raya, Tanah Merah dengan durian kunyit. Bermula daripada situ beliau menamakannya sebagai Musang King bersempena nama Gua Musang.
Pokok Musang King pertama yang ditanamnya mengambil masa 15 tahun mengeluarkan buah. Kini, setiap pokok mengambil masa lima hingga tujuh tahun untuk berbuah. Kebun durian beliau di Kampung Batu Papan 2, Gua Musang seluas 16 hektar dengan lebih 1,000 pokok itu kebanyakannya ditanam dengan Musang King.
Durian Musang King hanya mengeluarkan hasil sepanjang dua bulan, iaitu pada akhir bulan Jun sehingga Ogos.