Baru-baru ini Apple menerbitkan sebuah permohonan paten untuk idea telefon pintar boleh lipat yang mempunyai skrin ‘pulih kendiri’ (self-healing). Difahamkan skrin telefon pintar tersebut akan memperbaiki sendiri permukaannya yang calar dan berlekuk.

Permohonan paten itu difailkan oleh Apple pada Januari 2020 lepas.

Dalam permohonan paten tersebut, Apple mencadangkan konsep skrin yang mempunyai kebolehan pulih kendiri tanpa pertolongan daripada pengguna.

Secara teorinya, kebolehan pulih kendiri telefon pintar Apple ini akan diaktifkan secara automatik apabila ia dicas atau ditentukan masa pemulihannya (oleh pengguna). Kemudian ia akan menggunakan haba, cahaya dan arus elektrik untuk memulihkan lapisan perlindungan yang melindungi skrin.

Permohonan paten itu juga menyatakan lapisan perlindungan skrin telefon pintar tersebut mungkin mengandungi satu lapisan elastomer yang boleh memulihkan semula permukaannya apabila calar atau berlekuk. Elastomer itu juga boleh membuatkan skrin telefon pintar boleh lipat Apple menjadi tahan lama.

Ketika ini, sudah ada beberapa syarikat teknologi seperti Samsung dan Motorola yang sedang membuat telefon pintar boleh lipat versi masing-masing. Tetapi ciri pulih kendiri telefon pintar boleh lipat Apple ini akan menarik perhatian pelanggan jika berjaya direalisasikan.

Samsung sebelum ini sudah mengeluarkan telefon pintar boleh lipat mereka, Galaxy Fold. Tetapi seperti yang dijangka, pengguna Galaxy Fold berdepan dengan masalah skrin yang cepat rosak.

Teknologi pulih kendiri di telefon pintar sudah diaplikasikan sekurang-kurangnya di sebuh telefon pintar sebenarnya, iaitu G Flex keluaran LG. Ia mengandungi lapisan perlindungan pulih kendiri yang di belakang badan telefon untuk melindunginya daripada kesan calar.

Bagaimanapun teknologi pulih kendiri keluaran 2013 itu masih terlalu asas. Maka ia agak kurang efektif apabila dicuba sendiri oleh pengguna. The Verge menggelar G Flex sebagai ‘Wolverine kalau dia hanya boleh pulih daripada luka kertas sahaja’.

Embed from Getty Images

Tiada petunjuk lagi daripada Apple tentang bila telefon pintar boleh lipat mereka yang dilengkapi teknologi skrin pulih kendiri ini akan keluar di pasaran. Itupun jika R&D mereka berjaya.

Tetapi Apple sebenarnya sudah lama bermain-main dengan idea telefon pintar boleh lipat apabila pernah menunjukkan idea mereka melalui permohonan paten pada tahun 2014.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: