Pada pertengahan bulan Februari yang lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan fenomena cuaca panas yang dialami ketika ini dijangka berterusan sehingga pertengahan bulan Mac. Negara kita sedang berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia terutamanya di Utara Semenanjung. Setakat ini, suhu tertinggi yang dicatatkan pada bulan Februari 2021 adalah 36.2 darjah celcius.

Apa sebenarnya yang berlaku semasa fasa akhir Monsoon Timur Laut?

Pada mulanya, hujan tidak akan turun selama dua minggu berturut-turut. Kejadian ini telahpun direkodkan di negeri-negeri utara seperti Perlis dan Kedah. Dua negeri ini juga dijangka menerima defisit hujan antara 20 hingga 40 peratus berbanding jumlah biasa.

Selain itu juga, beberapa kawasan seperti Pulau Pinang, kawasan utara Perak, utara Kelantan dan utara Terengganu akan mengalami situasi sama. Jumlah paras air di empangan tertentu mengalami penurunan berbanding kebiasaan.

Apakah perkaitan di antara cuaca panas dengan kenaikan bil elektrik?

Kredit: https://kitareporters.com/teknologi/X7axk6wrey

Cuaca panas yang berpanjangan menyebabkan kita akan menggunakan peralatan elektrik seperti penyaman udara, peti sejuk dan juga mesin penapis air dengan lebih kerap. Bayangkan, setiap kali kita mengambil air sejuk dari mesin penapis air, tenaga elektrik akan diperlukan untuk kembali mengekalkan kesejukan air di dalam mesin tersebut. Maka, penggunaan yang kerap semasa cuaca panas dan kering ini dijangka menjadi punca kenaikan bil elektrik.

Selain itu juga, cuaca panas ini juga berterusan hingga waktu malam. Ada kemungkinan kita akan menggunakan penghawa dingin di rumah secara berterusan sehingga kita tidur. Ini menambahkan lagi penggunaan tenaga elektrik sedia ada.

Beberapa cadangan diberikan oleh pihak TNB untuk mengatasi kenaikan bil secara mendadak pada waktu cuaca panas ini iaitu dengan memastikan kita menggunakan ‘timer’ untuk penggunaan penghawa dingin semasa kita tidur. Pelanggan juga digalakkan untuk melakukan servis berkala bagi mengoptimumkan penggunaan penghawa dingin masing-masing. Suhu yang dicadangkan untuk digunakan adalah pada kadar 24 hingga 26 darjah celcius sahaja untuk menjimatkan penggunaan elektrik.

Bagaimanakah rebat elektrik diberikan pada tahun lalu lantaran Perintah Kawalan Pergerakan?

Sekiranya anda masih ingat, kenaikan bil elektrik secara mendadak pernah berlaku pada tahun lalu lantaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan fasa pertama mulai 18 Mac 2020. Kita semua bekerja dari rumah dan pembaca meter TNB pula tidak dapat keluar bekerja untuk membaca meter seperti biasa. Lantaran itu, apabila meter kembali dibaca beberapa bulan kemudian, bil pelanggan yang menghabiskan sepenuh masa di rumah melambung tinggi.

Akibat daripada rungutan pengguna, rebat elektrik diperkenalkan dengan subsidi secara bersama oleh kerajaan, TNB serta dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE). Melalui rebat tersebut, diskaun bil elektrik akan diberikan antara 15 peratus hingga 50 peratus, mengikut penggunaan pelanggan tersebut. Rebat ini akhirnya tertera pada bil elektrik mulai bulan Mei 2020.

Mengikut skim rebat berperingkat itu, tiga juta pengguna domestik (penggunaan bulanan bawah 200kWh) akan menerima rebat 50 peratus manakala 1.5 juta pengguna (penggunaan bulanan antara 201 kWh dan 300kWh) menerima rebat 25 peratus; dan 2.2 juta pengguna (penggunaan bulanan antara 301kWh dan 600kWh) menerima rebat sebanyak 15 peratus.

Rebat ini berterusan pada fasa dua iaitu diskaun bil elektrik antara dua hingga 50 peratus bagi penggunaan antara 1 Oktober hingga 31 Disember 2020. Inisiatif perlanjutan diskaun oleh kerajaan itu mengutamakan mereka yang memerlukan akibat pandemik COVID-19. Lebih tujuh juta pengguna TNB telahpun menikmati diskaun bil elektrik.

Sebagai pengguna yang bijak, kita harus menggunakan tenaga elektrik dengan baik dan elakkan sebarang pembaziran elektrik dengan sewenang-wenangnya, walaupun semasa cuaca panas berpanjangan seperti ini.

Baca artikel berkaitan:

Ini Cara Nak Dapat Diskaun 50% Bil Elektrik TNB Selama 6 Bulan

Kadar Penggunaan Elektrik Kediaman Naik 23% Sepanjang PKP