Pengendali aplikasi Airbnb akan meneruskan polisi untuk tidak membenarkan penghuni yang menyewa untuk menganjurkan parti di rumah sewaan mereka sehingga penghujung musim panas. Polisi tersebut yang dimulakan oleh Airbnb bagi mengekang penularan wabak Covid-19 sejak Ogos 2020 dijangka berakhir pada September 2021, sekiranya tidak dilanjutkan.
Polisi ini dilaksanakan di seluruh dunia, tanpa mengira keadaan dan tahap penularan Covid-19 di sesebuah negara tersebut. Selain itu juga, penyewa mempunyai had maksima bagi jumlah tetamu yang boleh dibawa ke Airbnb masing-masing iaitu 16 orang sahaja. Menurut Airbnb, polisi ini adalah bertepatan dengan pengurusan risiko kesihatan awam yang amat dititikberatkan oleh syarikat.
Hos Airbnb dilaporkan turut bersetuju dengan polisi yang dilaksanakan ini. Di bawah larangan sementara ini, aplikasi tersebut turut menutup pilihan rumah yang mesra bagi penganjuran sebarang acara. Pelanggaran polisi ini akan dikenakan tindakan undang-undang.