Tiga orang kanak-kanak yang juga merupakan adik-beradik di Bolivia dikejarkan ke hospital pada pertengahan Mei 2020 selepas digigit labah-labah Black Widow ketika sedang mengembala kambing di kampung mereka.
Menurut laporan Telemundo, tiga beradik tersebut yang masing-masing berusia 12, 10 dan lapan tahun percaya gigitan labah-labah dapat memberikan mereka kuasa seperti Spider-Man.
Mereka yang berasal dari Chayanta, sebuah pekan di Potosi, Bolivia, mendekati seekor Black Widow pada 14 Mei sebelum mengacaunya dengan sebatang kayu.
Pada mulanya abang mereka yang berusia 12 tahun digigit dahulu. Selepas itu giliran abang yang berusia 10 tahun pula digigit. Kemudian si bongsu pula mengutip Black Widow dan menekupnya dengan tangan supaya digigit seperti dua abangnya.
Simptom gigitan Black Widow mula muncul hanya beberapa minit selepas mereka digigit. Ibu mereka mengejarkan ketiga-tiga beradik ini ke klinik sebelu dipindahkan ke hospital di pekan Llallagua.
Apabila keadaan mereka tidak bertambah baik, mereka dikejarkan pula ke Hospital Kanak-Kanak La Paz.
Ketiga-tiga mereka melaporkan sakit otot, berpeluh, demam dan kejang otot selepas digigit Black Widow. Keadaan mereka bertambah baik selepas doktor menyucuk serum anti-bisa ke tubuh baan mereka.
Mereka sudah keluar dari hospital pada 20 Mei lepas.
Apa itu Black Widow?
Black Widow merupakan sejenis labah-labah yang boleh dijumpai secara semulajadi di Amerika Utara dan Amerika Selatan. Ia mendapat namanya daripada warna badannya (hitam) dan tabiat si betina yang akan makan si jantan selepas bersenggama (widow).
Labah-labah Black Widow biasanya bersaiz kecil dan mempunyai bisa yang tidak membawa maut. Bisanya mengandungi racun saraf latrotoxin yang boleh menyebabkan sakit otot, kejang otot, berpeluh dan muntah.
Biasanya bisa Black Widow betina yang berbahaya kepada manusia. Bagaimanapun gigitan mereka jarang-jarang membawa maut.
Black Widow betina mempunyai kecenderungan untuk makan si jantan selepas bersenggama. Tabiat mereka inilah yang memberi inspirasi kepada orang untuk menamakannya ‘Black Widow’.
Black Widow jantan biasanya akan memilih si betina yang belum pernah makan si jantan lain sebelum bersenggama. Biasanya si jantan dapat mengesannya melalui pengesanan bahan kimia yang digunakan si betina untuk membuat sarangnya.
Tabiat ini difahamkan dibuat oleh si betina untuk meningkatkan peluang anaknya untuk hidup.