Drama rantaian popular, Kampung People 2 yang sedang menjalani penggambaran, bakal menyaksikan kemunculan Adibah Noor memegang watak baharu dalam drama komedi itu.

Pelakon dan penyanyi terkenal itu memberitahu, dia memegang watak sebagai Dona iaitu ibu kepada Mona lakonan Elly Mazlein, menerusi drama arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin itu.

“Sudah tentu saya teruja dan rasa tidak sabar untuk masuk set penggambaran, akhir bulan ini. Saya bakal membawa watak Dona yang juga ibu kepada Mona lakonan Elly.

“Dari segi mencipta keserasian, saya rasa tiada masalah. Walaupun saya tidak pernah bekerja dengan Elly, tapi kami pernah beberapa kali berjumpa dalam beberapa acara hiburan.

“Berdasarkan skrip diberi, watak Dona memang agak ‘over’ daripada anaknya. Mona sendiri tidak mampu untuk melawan aksinya yang melampau itu,” katanya kepada BH Online.

Sebagai pelakon yang sering membawakan watak komedi, penyanyi Terlalu Istimewa ini mengaku tidak berdepan masalah untuk membawakan watak Dona.

“Lagipun saya memang penonton setia drama ini dan sudah faham daripada segi watak dan perwatakan pelakon lain serta konsepnya.

“Jadi, rasanya, saya tiada masalah untuk membawa watak Dona itu,” katanya.

Bulan lalu, produksi yang menerbitkan drama ini, KL Motion Pictures mengadakan proses uji bakat atas talian untuk mencari pelakon tambahan.

Kampung People 2 yang mendapat pujian ramai ketika ditayangkan buat kali pertama di TV3, tahun lalu, mengekalkan pelakon asal seperti Rashidi Ishak, Elly, Riena Diana, Hun Haqeem dan Kamarul Eqifshah.

Sumber: