Awal pagi tadi kita dikejutkan dengan laporan kejatuhan harga minyak mentah Amerika Syarikat yang mencecah angka negatif. Kejatuhan harga seburuk ini adalah yang pertama kali berlaku dalam sejarah harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI).

Sebagai rakyat sebuah negara yang bergantung kepada pasaran harga minyak seperti Malaysia, adakah kita perlu merasa panik dengan perkembangan ini?

Untuk menjawab persoalan ini, kami kongsikan semula penulisan Saudara Ruzaihan Junit, seorang pegawai sebuah syarikat minyak dan gas yang terlibat dalam bidang minyak dan gas selama 18 tahun yang disiarkan oleh portal MalaysiaKini.

Sejarah Kejatuhan Harga Minyak Mentah

Sebenarnya kejatuhan harga minyak telah bermula sejak tahun 2014 lagi apabila Amerika mempergiatkan pengeluaran shale oil menyebabkan lambakan minyak mentah dalam pasaran.

Bagi mengatasi masalah itu, Kesatuan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Russia bekerjasama untuk mengurangkan pengeluaran bagi mengawal harga crude.

Pada 2016, harga mula stabil tetapi tidak betul-betul kukuh kerana masih ada lambakan crude dalam pasaran.

Apabila COVID-19 menyerang akhir tahun lalu, ia mula memberi kesan kepada pemintaan terhadap minyak mentah. Kesan paling besar ialah apabila China – pasaran terbesar semenjak 2008 – menghentikan pengimportan crude.

COVID-19 – Penduduk China memakai topeng muka ketika keluar di tempat awam.

Ia menyebabkan sekali lagi lambakan minyak mentah dalam pasaran. Kemudian negara-negara Eropah juga mula melakukan lockdown yang menyebabkan pemintaan terhadap crude menurun dengan begitu signifikan.

Sekali lagi OPEC mengajak Russia berbincang untuk mengawal harga crude dengan mengurangkan pengeluaran. Tetapi kali ini Russia menolak dengan alasan terlalu awal untuk mengambil tindakan sebegitu.

Kebimbangan Russia berasas kerana mereka tidak mahu – selepas pengeluaran dikurangkan – harga mulai stabil tetapi kemudian jatuh semula kerana pemintaan semakin berkurangan akibat koronavirus. Russia mahu bertahan untuk tiga bulan lagi untuk melihat impak menyeluruh koronavirus terhadap pasaran.

Russia Mahu Balas Dendam Terhadap Amerika Syarikat

Ada juga yang berpendapat Russia mahu menggunakan peluang yang ada untuk membalas dendam terhadap pentadbiran Donald Trump yang melakukan sekatan terhadap sebuah syarikat Russia.

Ini kerana kos pengeluaran shale oil lebih tinggi, justeru AS akan mengalami rugi lebih banyak. Tapi biasalah… Russia sentiasa menafikannya.

Jadi kejatuhan harga minyak ini disebabkan oleh banyak faktor. Selain daripada tiada kekukuhan pada harga minyak, wabak Covid-19 yang menyerang menyebabkan kurangnya permintaan dan ditambah dengan sifat ego pemimpin negara kuasa besar minyak, maka harga menjunam teruk.

Negara pengeluar kecil-kecilan seperti Malaysia inilah yang menjadi mangsanya.

Ada yang menyamakan keadaan sekarang dengan krisjs minyak sebelum ini tetapi ia sebenarnya berbeza. Krisis sebelum ini, yang berlaku adalah lambakan crude. Sedangkan industri hiliran masih rancak berjalan.

Kebanyakan syarikat minyak akan terlibat di peringkat huluan dan hiliran. Jadi, jika industri huluan mengalami kerugian akibat kejatuhan harga crude, mereka masih mampu membuat duit dengan industri hiliran yang mendapat bekalan dengan harga murah.

Kesan Koronavirus Kepada Industri

Tetapi kali ini, kedua-dua peringkat tidak laku! Permintaan terhadap produk industri hiliran juga menurun. Kereta tidak bergerak. Kapal terbang hanya tersimpan di hangar. Kilang tidak beroperasi. Kapal terperuk dalam limbungan. Semuanya akibat koronavirus.

Sebab itu kejatuhan harga crude kali ini memberi impak yang berkali ganda teruknya berbanding yang sebelum-sebelum ini.

Sekarang ini – suka atau tidak – saya terpaksa memikirkan langkah-langkah penjimatan untuk platform saya. Setiap kali mesyuarat, sentiasa saya ingatkan semua penyelia tentang harga minyak sekarang.

Kita perlu kurangkan kerugian syarikat supaya syarikat tidak perlu mengurangkan orang dan pekerjanya.

Belanjawan Negara Turut Terjejas

Kejatuhan harga crude ini bukan hanya akan menjejaskan kami yang berada dalam industri ini. Belanjawan negara kita juga akan terjejas teruk. Arab Saudi menjangkakan defisit lebih besar dalam belanjawan mereka.

Russia yang pada awalnya menjangka surplus dalam belanjawan mereka sebelum ini, terpaksa akur mereka juga akan mengalami defisit. Jika itu kesan kepada negara besar, apa pula kesan kepada negara kita yang kecil ini?

Sebab itu saya tak berapa gembira hari ini. Buntu kepala. Saya perlu terus pastikan operasi berjalan dengan selamat di sini. Perlu terus pastikan setiap pekerja gembira di sini. Tapi pada masa sama saya juga perlu membuat perancangan dengan berhemah untuk mengurangkan impak terhadap syarikat.

Saya perlu juga pastikan platform saya selamat daripada ancaman koronavirus ini. Setiap hari ada saja inisiatif baru kami ambil untuk pastikan virus membunuh itu tidak mengancam kami.

Dan saya juga perlu membuat perkiraan langkah perlu jika ada orang yang terjangkit terlepas ke sini. Wa na’uzubillah… Semoga ianya tidak berlaku.

Koronavirus? Memang bahaya dan buat saya cemas. Harga crude jatuh? Juga bahaya dan buat saya risau. Apabila kedua-duanya bergabung – boleh botak kepala memikirkannya.

Baca juga artikel kami lain yang mungkin menarik perhatian anda:

Sumber: