Sekitar tahun 2016, sepasang suami dan isteri menemui Ambergris ketika berjalan di tepi pantai Middleton Sands, Morecambe Bay. Bau yang tajam dan menusuk dari ketulan itu menarik Gary dan Angela Williams untuk menemuinya. Disahkan sebagai penemuan asli, ia terjual pada harga RM280,000.
Pada 26 November 2020, seorang nelayan di Thailand yang dikenali sebagai Narit Suwansang bergelar jutawan segera. Ini apabila Ambergris seberat 100kg yang ditemui beliau di tepi pantai di Nakhon Si Thammarat terjual pada harga RM13.3 juta.
Fares Abdulhakeem, seorang lagi nelayan di Yemen juga pernah menemui objek sama yang terapung di permukaan air. Beliau menemuinya bersama 34 orang nelayan lain, kira-kira 26 kilometer dari pesisir bandar Aden.
Perasaan ingin tahu menyebabkan mereka membawa bot menghampiri objek tersebut. Penemuan itu nyata membawa tuah buat diri mereka apabila bangkai itu turut mengandungi Ambergris atau lazim disebut ‘muntah’ ikan paus.
Penemuan tersebut mengubah nasib Fares dan rakan-rakan nelayannya. Ini apabila Ambergris seberat 127 kilogram (kg) itu kemudian dibeli oleh seorang ahli perniagaan dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan harga lebih RM6.20 juta.
Kisah penemuan Ambergris ini juga tidak asing di negara kita. Aida Zurina Long dari Kampung Kemasik, Terengganu juga mendakwa pernah menemuinya. Beliau secara kebetulan menemui ketulan lilin yang dipercayai muntah ikan paus itu terapung ketika sedang memancing bersama keluarga.
Persoalannya, mengapa muntah ikan paus ini digilai oleh semua?
Ambergris yang super rare
Ambergris adalah bahan berwarna kelabu atau kehitaman kusam yang padat, berlilin dan mudah terbakar. Ia terbentuk daripada sisa lendir najis ikan paus sperma yang menempel di lapisan usus dalam perutnya.
Ketulan ambergris tersebut kemudiannya berubah menjadi warna hitam atau kelabu lalu dimuntahkan menerusi mulut. Muntah ikan paus yang bernilai tinggi akan mempunyai bahan aktif yang terdiri daripada tiga bahan utama.
Bahan-bahan ini ialah ambrein (25 hingga 45 peratus), epicoprosterol (30 hingga 40 peratus) dan coprostanone (tiga hingga empat peratus). Tanpa kandungan tiga bahan aktif berkenaan, penemuan mana-mana ketulan yang didakwa sebagai Ambergris itu tidak mempunyai apa-apa nilai.
Ketulan Ambergris biasanya ditemui secara tidak sengaja oleh nelayan di laut. Ia akan terapung di permukaan air dan mengambil masa bertahun-tahun untuk hanyut ke persisiran pantai.
Proses oksidasi yang berlaku secara semulajadi akan menyebabkan fizikal Ambergris mula mengeras. Ia juga mengubah warna luarannya menjadi kuning dan mengeluarkan bau yang sangat wangi.
Kandungan penting untuk Chanel No 5
101 tahun yang lalu, lagenda perfumer Ernest Beaux mencipta No 5 untuk Coco Chanel. Ia dihasilkan di dalam tiga bentuk keluaran iaitu Parfum, Eau de Toilette dan Eau de Cologne.
Sehingga hari ini, bau bedak dan kayu yang tersimpul di dalam semburan mewah No 5 ini masih digilai oleh peminat minyak wangi di seluruh dunia. Terdapat juga pengguna yang menyimpannya sebagai kenang-kenangan kepada bau kegemaran ibu dan nenek mereka yang telah pergi.
Minyak wangi ikonik ini mula dihasilkan hanya sekadar melalui tempahan sebelum dijual di seluruh dunia. Saban tahun, sebanyak 10 juta botol No 5 terjual dan kekal releven. Menurut pakar, minyak wangi ini antara yang terawal dan masih lagi mengekalkan kandungan Ambergris sebagai salah satu rahsia kekal wangi selepas semburan.