Madu merupakan cairan manis dan pekat yang dihasilkan oleh lebah madu. Secara nutrisi, 1 sudu madu (21 gram) mengandungi 64 kalori dan 17 gram gula, termasuk fruktosa, glukosa, maltosa dan sukrosa.
Kepekatan madu ini menjadikan ianya hampir tidak mengandungi sebarang serat, lemak atau protein. Madu turut mengandungi beberapa vitamin dan mineral, namun jumlah yang perlu diambil adalah tinggi untuk memenuhi keperluan harian.
Selain itu juga, madu turut mengandungi kandungan kompaun bioaktif dan antioksidan. Madu telah digunakan sebagai sebahagian daripada komponen perubatan tradisional sejak lebih 5,000 tahun.
Berikut merupakan jenis-jenis madu yang terdapat di dalam negara kita serta khasiatnya.
Madu Tualang
Madu beraroma tinggi yang dihasilkan oleh lebah liar Apis Dorsata dari nektar pelbagai bunga hutan (Multiflora Honey). Ia kebiasaannya memberi aroma bungaan dan rasanya agak manis dan tajam.
Gelaran Lebah Tualang diambil bersempena dengan nama Pokok Tualang. Pokok Tualang yang terdapat di hutan hujan Khatulistiwa boleh mencapai ketinggian sehingga 15 meter dan ianya menjadi kegemaran spesis lebah liar ini untuk bersarang.
Ketinggian ini membolehkan lebah liar ini selamat dari gangguan dan ancaman binatang liar seperti beruang. Lebah liar ini mampu menghasilkan kira-kira 40 hingga 50 kg madu dalam tempoh bersarang.
Banyak kajian telah dilakukan untuk mengkaji keberkesanan madu tualang terhadap penyembuhan luka. Keberkesanannya terbukti pada luka separa tebal dan tebal. Menurut kajian ini, madu tualang menunjukkan kesan baik sama seperti ‘dressing’ luka yang digunakan dalam perawatan di pusat perubatan untuk kesan terbakar iaitu dari segi keluasan luka dan tempoh masa penyembuhan.
Ia juga melambatkan infeksi bakteria dalam luka terutamanya bagi pesakit kencing manis.
Madu Kelulut
Berbeza dengan madu biasa, madu kelulut mempunyai khasiat tersendiri dan apa yang menakjubkan ia dihasilkan oleh lebah yang tidak menyengat. Perlu untuk diketahui bahawa terdapat 80 spesies madu kelulut di Malaysia namun hanya kurang daripada 10 spesies yang boleh menghasilkan madu kerana selebihnya berfungsi sebagai ejen pendebungaan.
Lebah Kelulut dikategorikan sebagai lebah yang tidak menyengat. Ciri-ciri fizikal lebah ini amat berbeza dari lebah biasa. Lebah kelulut kebiasaannya berukuran antara 3-8mm manakala bentuk sarang lebah kelulut pula adalah berbentuk spiral.
Madu kelulut memiliki bahan yang dikenali sebagai antidiabetes. Dengan itu, pengambilan madu ini mampu untuk menurunkan kandungan gula yang berlebihan dalam darah.
Ini kerana, ia meransang penghasilan hormon insulin yang berfungsi untuk memecahkan kandungan gula dalam badan dan digunakan oleh sel badan.
Madu Ratu Lebah
Madu Ratu juga dikenali sebagai Susu Lebah. Kadangkala, peniaga menggelarkannya sebagai Madu Putih kerana warnanya yang putih kekuningan menyerupai warna susu.
Madu jenis ini adalah antara yang paling sukar didapati dan biasanya hanya diperolehi dalam kuantiti yang sedikit (sehingga beberapa ratus gram sahaja). Ia adalah rembesan seperti susu yang dihasilkan oleh lebah pekerja madu.
Kandungan madu ini biasanya mengandungi lebih kurang 60% hingga 70% air, 12% hingga 15% protein, 10% hingga 16% gula, 3% hingga 6% lemak, dan 2% to 3% vitamin, garam, dan asid amino.
Banyak kajian dikaitkan dengan khasiat madu ini. Antaranya ialah mampu merawat asma, demam alahan, penyakit hati, pankreatitis dan masalah tidur (insomia).