Ayam Brand merupakan jenama yang tidak asing lagi dengan penduduk di Asia Tenggara. Satu daripada dua isi rumah di Malaysia, Singapura dan Brunei pasti memiliki produk Ayam Brand di dapur mereka. Daripada sardin, kacang panggang dan tuna, Ayam Brand mengorak langkah lebih jauh dengan mempelbagaikan produk mereka.
Namun begitu, tahukah anda gambar ‘ayam’ di dalam logo Ayam Brand tersebut sebenarnya berasal dari Perancis?
Kelahiran syarikat A. Clouet & Co
Semasa diasaskan di Singapura oleh bekas tentera Perancis bernama Alfred Clouet, syarikat ini dinamakan sebagai A. Clouet & Co. Pada mulanya, perniagaan ini menumpukan kepada import eksport produk seperi cerut, coklat, minyak wangi dan wain. Namun, hasilnya agak menghampakan buat Alfred Clouet.
Pengetinan makanan merupakan kepakaran yang dituntut terhadap pembekal makanan tentera Perancis sejak Perang Napolean lagi. Ini kerana, tentera memerlukan makanan yang segar dan tahan lama semasa perang. Dan Alfred Clouet terdedah kepada idea pengetinan ini untuk mengekalkan kesegaran makanan.
Beliau melihat bagaimana ikan sardin yang menjadi kegemaran penduduk Tanah Melayu ketika itu diniagakan. Pada musim perayaan, harganya melambung kerana permintaan yang tinggi. Maka, idea pengetinan ikan sardin tercetus bagi mengekalkan dan menstabilkan harga sepanjang tahun.
Pemilihan logo ayam dan asal usul Ayam Brand
Perancis sebagai sebuah negara memiliki pelbagai simbol yang dekat dengan rakyatnya. Antaranya adalah ayam jantan Gallic atau Gallic rooster. Sebagai peniaga berbangsa Perancis, Alfred Clouet memilih logo ayam jantan Gallic.
Secara tidak langsung, ia merupakan simbol tidak rasmi bagi negara kelahirannya. Logo ayam jantan ini juga menggambarkan status kualiti terbaik bagi rakyat Perancis. Ia juga logo yang digunakan oleh pasukan bola sepak dan ragbi Perancis.
Sardin di dalam tin tersebut pantas menjadi kegemaran orang ramai. Namun, nama Clouet sukar disebut lantaran bahasa Perancis amat asing buat rakyat tempatan. Mereka gemar menggelarkan sardin tersebut sebagai cap ayam.
Bagi mengekalkan jenamanya untuk mudah dikenali, Alfred Clouet menukarkan nama jenama tersebut kepada Ayam Brand. Jenama tersebut kekal sehingga hari ini.
Pemilikan kekal oleh syarikat Perancis
Pada tahun 1954, jenama Ayam Brand diambil alih oleh Denis Group, sebuah syarikat Perancis. Jenama Ayam Brand tersebut masih dikekalkan oleh Denis Group.
Pada hari ini, Ayam Brand dijual di 30 buah negara di seluruh dunia. Jenama tersebut mempunyai kilang di Taiping, Perak dengan 1,200 orang pekerja tempatan. Biarpun dihimpit teknologi, Ayam Brand kekal menggunakan teknik penyiangan ikan tradisional dengan tangan bagi menjaga kualiti.
Ayam Brand atau cap ayam pula kekal masyhur di seluruh dunia.