Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) setakat ini telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM9.5 bilion ke negeri Pahang. Jumlah yang diumumkan tersebut adalah satu kejayaan apabila melepasi sasaran awal bagi pelaburan komited untuk negeri ini bagi tahun 2021 iaitu RM5.1 bilion.
Daripada pelaburan tersebut, ECERDC menjangkakan sebanyak lebih daripada 6,700 peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan oleh syarikat-syarikat terbabit. Sementara itu juga, pelaburan berskala besar itu kelak mampu memberikan sebanyak 170 peluang keusahawanan bagi rakyat di Pahang.
Selain pelaburan komited sebanyak RM9.5 bilion, ECERDC juga telah merealisasikan pelaburan sebanyak RM2 bilion di Pahang pada tahun ini. Pelaburan baharu tersebut merangkumi pembangunan tanah tinggi bersepadu, peluasan kilang pembuatan keluli dan pembuatan sarung tangan di Pahang bagi tahun 2021.
Pandemik mengubah landskap program pelaburan
Seperti yang dialami di seluruh negara, pandemik turut mengubah landskap pelaburan di negeri Pahang. Biarpun begitu, keadaan di negeri Pahang tidak terlalu terkesan seperti di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang. Pahang kini berada di dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.
Menurut kenyataan ECERDC lagi, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mengekalkan momentum penarikan pelaburan ke Pahang. Setakat ini, agensi tersebut telah merancang untuk mengadakan lebih banyak aktiviti promosi pelaburan pada separuh kedua tahun 2021 bagi menarik pelabur dalam sektor-sektor ekonomi utama.
Menyesuaikan diri dengan pandemik, ECERDC telah menganjurkan tiga webinar pada separuh pertama 2021 untuk membina hubungan dan menarik pelabur-pelabur antarabangsa. Penganjuran webinar ini bagi menggantikan misi pelaburan ke luar negara yang biasa dilakukan, selain menggantikan seminar yang dibuat secara fizikal sebelum ini.
Antara webinar yang dianjurkan termasuk Investment Opportunities in the East Coast Economic Region for Petrochemical and Automotive Industries, Malaysia: The Oil, Gas and Petrochemical Hub for ASEAN dan Investment Opportunities in Life Sciences and Medical Technology in ECER. Webinar-webinar pelaburan tersebut telah menyaksikan penyertaan lebih daripada 900 pelabur berpotensi dan ECERDC yakin dapat menarik pelaburan baharu ke ECER dan negeri Pahang.
Usaha tarik pengeluar Kenderaan Elektrik (EV) ke Pahang
Selain itu juga, Taman Automotif Pahang (PAP) selepas ini akan diketengahkan sebagai Taman Perindustrian Automotif Hijau. Perubahan tersebut dijangka mampu menarik syarikat-syarikat pengeluar Kenderaan Elektrik (EV) baharu untuk melabur di PAP.
Setakat ini, antara jenama terkenal yang kini beroperasi di PAP adalah Mercedes-Benz, Volkswagen, Isuzu dan Mitsubishi. Dengan kerjasama Malaysian Green Technology Corporation (MGTC), SIRIM dan Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES), kemudahan di PAP akan dipertingkat menjadi taman perindustrian mesra alam.
Kelak, PAP bakal dilengkapi dengan ciri-ciri penjimatan tenaga, tenaga boleh diperbaharui yang dikuasakan oleh solar dan sistem pengurusan sisa yang holistik. Perubahan ini adalah selaras dengan peralihan global ke arah kenderaan elektrik (EV) dan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020). Inisiatif ini dijangka dapat menarik pelaburan baharu dalam pembuatan EV.
Kajian menunjukkan bahawa industri pembuatan kenderaan elektrik (EV) bakal bernilai USD $802.81 bilion pada tahun 2027.