Mulai esok, program pemberian vaksin akan mula menggunakan pendekatan serba baharu iaitu ‘walk in’ di sekitar kawasan Lembah Klang. Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), YB Khairy Jamaluddin, pemberian vaksin bagi tujuan berkenaan akan dimulakan secara berperingkat.
Inisiatif vaksinasi ‘walk in’ atau jumpa terus di Selangor dan Kuala Lumpur bermula esok adalah khusus untuk golongan tercicir dan belum mendapat janji temu masing-masing selepas 17 Julai lalu. Maka, harus difahami bahawa inisiatif ini bukan untuk orang ramai yang sudah pun diberikan janji temu masing-masing untuk mendapatkan suntikan vaksin. Selain itu juga, pemberian vaksin ini turut menumpukan golongan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan.
Kaedah pelaksanaan pemberian vaksin secara terus akan menggunakan pendekatan ‘first come, first serve’ atau mendahulukan siapa yang cepat. Bergantung kepada kapasiti PPV, mana-mana individu yang gagal mendapatkan suntikan vaksin pada hari berkenaan akan diberikan keutamaan pada keesokan harinya.
Program ini bakal dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin di Lembah Klang dengan mengambil kira kehadiran pelbagai mutasi varian baharu yang lebih mudah merebak. Selain itu juga, jumlah kes positif Covid-19 yang semakin tinggi menjadi faktor utama yang mendorong keputusan ini.
Beberapa peringkat pemberian vaksin ‘walk in’
Program ini bakal dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu:
- Bagi warganegara Malaysia: Mulai 2 hingga 4 Ogos adalah bagi individu berumur 40 tahun ke atas ataupun yang mempunyai sejarah penyakit.
- Bagi warganegara Malaysia: Mulai 5 hingga 22 Ogos adalah terbuka kepada semua individu yang berusia 18 tahun ke atas dan belum menerima sebarang temu janji pemberian vaksin.
- Bagi bukan warganegara: Mulai 9 hingga 11 Ogos adalah untuk individu berumur 40 tahun ke atas ataupun yang mempunyai sejarah penyakit.
- Bagi bukan warganegara: Mulai 12 hingga 22 Ogos adalah terbuka kepada semua individu yang berusia 18 tahun ke atas dan belum menerima sebarang temu janji pemberian vaksin.
Senarai Pusat Pemberian Vaksin bagi program ‘walk in’
Untuk warganegara Malaysia, mulai 2 Ogos hingga 22 Ogos:
- Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), HCO F
- Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), HCO G
- Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), HCO H
- Bangi Avanue Convention Centre (BACC)
- Hotel Wyndham Klang
- Dewan TAR Sabak Bernam
- Dewan Komuniti Serendah
- Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA Sepang
- Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC)
Untuk bukan warganegara Malaysia, mulai 9 Ogos hingga 22 Ogos:
- Stadium Nasional Bukit Jalil
Maklumat tambahan tentang pemberian vaksin ‘walk in’
- Bermula setiap hari pada pukul 2 petang secara first-come-first-serve (mengikut senarai PPV);
- Bagi individu yang mempunyai sejarah penyakit, sila bawa surat doktor yang mengesahkan sejarah penyakit tersebut untuk rujukan; dan
- Bawa bukti pemastautinan anda di Lembah Klang. (contohnya alamat di kad pengenalan, lesen memandu, sebarang bil TNB, Syabas, TM, bil kad kredit, kad pekerja, kad pelajar, perjanjian sewaan rumah atau lain-lain).