Waris kepada individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 sebenarnya boleh membuat permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 yang berjumlah sebanyak RM5,000. Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bantuan wang tunai secara sekali bayaran itu akan diberikan kepada waris yang memenuhi syarat ditetapkan.
Menurut agensi itu lagi, bantuan tersebut setakat ini hanya layak kepada warganegara Malaysia yang menetap di negara ini. Stakat semalam, sebanyak 8,725 kematian telah direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Namun begitu, hanya 1,500 permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 diterima oleh NADMA.
Setakat 19 Julai, NADMA juga telah menyalurkan sebanyak RM6.16 juta di bawah Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 ini kepada 1,232 waris yang kematian ahli keluarga akibat Covid-19. Ini bermaksud, terdapat 268 permohonan yang masih di dalam proses kelulusan dan 7,225 waris lagi masih belum menuntut bantuan khas ini.
Berikut dilampirkan cara untuk memohon dan syarat permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 ini.
Syarat-syarat kelayakan untuk memohon bantuan ini
Terdapat tiga syarat kelayakan untuk memohon bantuan ini iaitu:
- Hanya pengesahan kematian berkaitan COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja terpakai untuk pengesahan bantuan khas ini;
- Hanya kematian berkaitan COVID-19 yang melibatkan warganegara Malaysia sahaja akan diberi bantuan khas ini melalui permohonan waris si mati; dan
- Hanya satu waris sahaja yang layak menerima bantuan khas ini. Sekiranya terdapat lebih satu permohonan daripada waris-waris si mati, NADMA hanya akan mempertimbangkan permohonan pertama sahaja.
Cara memohon Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19
Waris mesti mengisi borang permohonan dan memastikan dokumen-dokumen lengkap. Kesemua permohonan dan dokumen yang tidak lengkap akan ditolak. Berikut merupakan senarai dokumen yang diperlukan bagi membuat permohonan tersebut:
- Borang Permohonan yang disahkan oleh hospital yang memaklumkan kematian berkaitan Covid-19
- Salinan Sijil Kematian
- Salinan Kad Pengenalan si mati
- Salinan Kad Pengenalan milik pemohon (waris si mati)
- Salinan Penyata Bank (yang masih aktif) milik pemohon (waris si mati)
Setelah lengkap kelima-lima dokumen ini, waris boleh menghantar permohonan kepada NADMA sama ada melalui pos, emel ataupun melalui aplikasi WhatsApp.
Alamat NADMA: Ketua Pengarah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, Aras 7, Blok D5, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62502 PUTRAJAYA. (u.p. : Sekretariat KWABBN)
Emel NADMA: [email protected]
WhatsApp: +60 11-1321 8056