Industri semikonduktor adalah merupakan asas utama kepada teknologi utama dalam mana-mana sektor pembuatan di seluruh dunia. Peranti semikonduktor adalah komponen yang penting dalam litar elektronik, terutamanya yang dihasilkan daripada bahan silikon. Selepas pembukaan ekonomi pasca pandemik Covid-19, masalah utama yang dihadapi oleh industri pembuatan di seluruh dunia adalah kekurangan cip semikonduktor.
Terdapat beberapa punca permasalahan ini, antaranya perang dagangan Amerika Syarikat dan China. Ini membawa kepada sekatan terhadap pengeluar cip negara China untuk tidak membekalkan keluaran mereka kepada syarikat milik AS. Kesemua sektor pembuatan pula berebut-rebut untuk membeli dan menyimpan stok cip semikonduktor lantas memburukkan lagi keadaan.
Antara industri yang bakal merekodkan kerugian besar adalah automatif. Jangkaan awal pada Februari 2021 dengan jumlah kerugian mencecah USD$60.6 bilion oleh firma penyelidik AlixPartners nyata meleset dengan jangkaan terbaharu kerugian sebanyak RM453.8 bilion (USD$110 bilion). Jumlah besar ini melibatkan 3.9 juta kereta yang bakal tertangguh jualannya akibat ketiadaan cip semikonduktor.
Antara jalan keluar pendek yang dilihat mampu mengurangkan impak ini adalah dengan industri automotif mengadakan hubungan terus dengan pengeluar cip semikonduktor, membekalkan bahan mentah dan seterusnya membolot pengeluaran tersebut.