Clubhouse merupakan sebuah platform yang memfokuskan kepada perbincangan digital, dengan pendengar yang terlibat di dalam satu-satu perbincangan boleh mencecah sehingga 5,000 orang. Setakat bulan lalu, seramai 13.5 juta pengguna telahpun memuat turun aplikasi ini.
Setelah diasak dengan inovasi oleh syarikat gergasi seperti Facebook dengan Live Audio Rooms dan Twitter dengan Twitter Space dan juga Reddit Talk, akhirnya Clubhouse memulakan ujian beta secara tertutup kepada pengguna Android. Menurut kenyataan Cubhouse, ujian ini tidak dibuka kepada umum terlebih dahulu, tetapi akan dijalankan oleh sekumpulan penguji yang sudahpun dikenalpasti oleh mereka.
Jurang yang diwujudkan oleh Clubhouse pada mulanya memberikan nilai keeksklusifan aplikasi ini. Namun begitu, lama-kelamaan pesaing mula menginovasi idea yang sama dan menyebabkan Clubhouse dilihat ketinggalan.
Setakat ini, Clubhouse masih belum memberikan tarikh yang tepat mengenai bila aplikasi ini boleh dimuat turun oleh pengguna Android. Mereka cuma menyatakan bahawa pengguna Android akan menikmati penggunaan aplikasi ini dalam beberapa minggu lagi. Ini dilihat bertepatan dengan kenyataan mereka pada bulan Mac lalu bahawa Clubhouse akan sampai kepada pengguna Android dalam tempoh masa beberapa bulan.