Pada 28 Mac 2021, Formula 1 Grand Prix Bahrain akan membuka tirai kalendar perlumbaan bagi saingan tahun 2021. Peminat sukan Formula 1 pasti akan teruja dengan kehadiran nama Schumacher yang akan dibawa oleh anak lelaki lagenda tersebut, Mick Schumacher.

Bermula seawal usia sembilan tahun

Kredit gambar: https://www.thesun.co.uk/sport/13357620/mick-schumacher-lifestyle-father-michael-f1/

Pada tahun 2008, Mick telah mula melibatkan diri dengan sukan go kart. Bagi mengelakkan tekanan kepada dirinya yang membawa nama besar keluarga bapanya, Mick menggunakan nama keluarga ibunya ‘Betsch’.

Nama Schumacher bukan sahaja besar kepada bapanya, malah bapa saudara Mick iaitu Ralf juga merupakan seorang bekas pemandu Formula 1. Maka, sudah tentu banyak mata yang tertumpu kepadanya.

Seperti kebanyakkan pemandu Formula 1 yang bermula dari bawah, Mick melengkapkan karier beliau dengan berlumba dari go kart dan meningkat naik kepada Formula 4 pada tahun 2015.

Dari Formula 3 kepada Formula 2

Kredit gambar: https://www.fia.com/news/f3-mick-schumacher-wins-again

Pada tahun 2017, Mick menyertai pasukan Prema Powerteam dan bertanding di FIA Formula 3 European Championship. Prema Powerteam bukanlah pasukan yang asing bagi Ferrari, dengan lima daripada sembilan pemandunya adalah pemandu dari Akademi Ferrari. Musim pertama Mick bagaimanapun agak hambar apabila hanya mampu berada di tempat ke-12.

Bagi musim 2018 pula, Mick bermula agak perlahan dengan hanya memenangi satu perlumbaan sahaja. Itupun pada perlumbaan yang ke-15. Namun begitu beliau bangkit mengejar kejuaraan dengan kemenangan demi kemenangan dan akhirnya menduduki tempat pertama bagi Formula 3 tahun 2018.

Menjuarai Formula 2 pada tahun 2020

Kredit gambar:https://www.ferrari.com/zh-CN/articles/mick-schumacher-is-the-2020-formula-2-champion

Pada tahun 2019, selepas memenangi Formula 3, Mick Schumacher menyertai Formula 2 dan memandu untuk pasukan Prema Racing. Tahun pertamanya agak hambar apabila hanya menduduki tempat ke-12 daripada keseluruhan pemandu.

Terdapat beberapa momen menarik bagi Mick pada tahun 2019 yang dianggap ironi bagi peminat Formula 1. Antaranya kehandalan beliau untuk mengejar dari petak ke-19 ke petak kelima semasa perlumbaan di Litar Baku, Azerbaijan.

Beliau juga bermula hambar di Litar Red Bull Ring, Austria apabila menduduki petak ke-18 semasa saingan kelayakan. Namun begitu, Mick sekali lagi berjaya menamatkan perlumbaan tersebut di kedudukan keempat.

Bagi saingan FIA Formula 2 Championship tahun 2020 pula, Mick digandingkan dengan Robert Shwartzman. Mick dan Robert kedua-duanya merupakan teman lama yang bersama-sama di dalam Akademi Ferrari. Pada tahun 2020 juga menyaksikan Mick sekali lagi mengejar dari kedudukan ke-18 hingga menghabiskan perlumbaan di kedudukan keenam.

Lima kedudukan podium secara berturut-turut bagi siri 2020 sudah cukup untuk membuktikan Mick mampu membawa nama Schumacher kembali ke arena Formula 1. Pada perlumbaan terakhir, Mick Schumacher dinobatkan sebagai Juara Formula 2 Championship.

Trivia lain tentang Mick Schumacher

Kredit gambar: https://www.formula1.com/en/latest/article.ferrari-using-haas-to-assess-schumachers-promotion-potential-says-binotto.6jnL4b4z5GwUz1Add0q2TY.html

1- Beliau pertama kali memandu jentera moden Formula 1 pada tahun 2019, sewaktu sesi latihan GP Bahrain. Walaupun hanya pertama kali memandu jentera Scuderia Ferrari SF90, Mick berjaya mencatat masa kedua terpantas!

2- Sewaktu mula menjadi pemandu Formula 1, Michael Schumacher menggunakan nama skrin SCH, namun menukarkannya kepada MSC apabila adiknya Ralf Schumacher menyertai Formula 1. Mick Schumacher telahpun memohon kepada FIA untuk kembali menggunakan nama skrin yang digunakan oleh bapanya, MSC.

3- Bakal memandu bersama Nikita Mazepin untuk Uralkali Haas bagi saingan Formula 1 2021. Mereka pernah berlumba bersama-sama sejak zaman go kart lagi.

4- Secara terbuka, Pengurus Ferrari Mattia Binotto memaklumkan bahawa mereka percaya bahawa Mick Schumacher hanya perlu sedikit masa lagi untuk menyertai Ferrari. Uralkali Haas merupakan pasukan yang menggunakan pelanggan kejuruteraan Ferrari dan menggunakan enjin mereka.