Dalam Al-Quran, tak ada ayat yang menceritakan tentang seorang penghafal Al-Quran mampu memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya.

Antara ayat Al-Quran yang menceritakan tentang kelebihan Al-Quran adalah:

  • Firman Allah SWT

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)”. [al-Qamar:17]

  • Daripada Uthman RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya”. 

(Riwayat al-Bukhari)

  • Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW:

إِنَّ الَّذِي لَيْسَ فِي جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ القُرْآنِ كَالبَيْتِ الخَرِبِ

Maksudnya: “Orang yang tidak ada di dalam dadanya sepotong pun ayat ibarat Al-Quran adalah seperti rumah yang ditinggalkan kosong”.

(Riwayat al-Tirmizi)

Hadis yang selalu kita dengar tentang syafaat yang diberikan oleh hafiz Al-Quran dan adalah :

Pertama: Matan Hadis

  • Daripada Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَاسْتَظْهَرَهُ [أي: عَنْ ظَهْرِ قَلْبِيٍ] فَأَحَلَّ حَلاَلَهُ وَحَرَّمَ حَرَامَهُ أَدْخَلَهُ اللّهُ بِهِ الْجَنَّةَ وَشَفَّعَهُ فِي عَشْرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ كُلُّهُمْ قَدْ وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ

Maksudnya: “Barang siapa yang membaca dan menghafal Al-Quran lalu menghalalkan yang halal di dalamnya dan mengharamkan yang haram di dalamnya nescaya Allah akan memasukkannya dengan sebab itu ke dalam jannah, dan menerima syafa’atnya untuk 10 orang daripada keluarganya yang kesemuanya mesti masuk ke dalam neraka”. (Riwayat al-Tirmizi)

Pendapat ulama’ berkaitan hadis ini

Antara pendapat ulama’ dalam menghukum hadis ini:

  • Imam al-Tirmizi menilai hadis ini sebagai ghorib dan tidak diketahui (jalurnya) melainkan daripada jalur ini. Tambahan pula, ia tidak mempunyai sanad yang sahih dan padanya Hafs bin Sulaiman didhaif dalam meriwayatkan hadis.
  • Imam al-Baihaqi mengatakan Hafs bin Sulaiman bersendiri (tafarrud) dalam meriwayatkan hadith ini dan dia seorang yang dhaif dalam meriwayatkan hadith. 
  • Al-Mubarakfuri mengatakan Hafs bin Sulaiman seorang matruk (ditinggalkan) dalam meriwayatkan hadith. 

Kedua: Matan Hadis

  • Daripada Mu’az bin Anas al-Juhaniy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَعَمِلَ بِمَا فِيهِ ، أُلْبِسَ وَالِدَاهُ تَاجًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، ضَوْءُهُ أَحْسَنُ مِنْ ضَوْءِ الشَّمْسِ فِي بُيُوتِ الدُّنْيَا لَوْ كَانَتْ فِيكُمْ ، فَمَا ظَنُّكُمْ بِالَّذِي عَمِلَ بِهَذَا

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya, maka pada hari kiamat kedua ibu bapanya akan di pakaikan mahkota, sinarnya lebih terang daripada cahaya matahari berada di rumah kita. Bagaimana menurut perkiraan kalian, bagaimana agaknya ganjaran untuk orang yang mengamalkannya sendiri?”. (Riwayat Abu Daud)

Antara pendapat ulama’ dalam menghukum hadith ini:

  • Abu Daud tidak memberi apa-apa komen berkaitan hadith ini (سكت عنه). Ini bermakna hadith ini salih (صالح) berdasarkan risalah kepada ahli Makkah yang ditulis olehnya.
  • Imam al-Baghawi mengatakan bahawa hadith ini adalah gharib. 
  • Syeikh Syu’aib al-Arnaouth mengatakan sanadnya dhaif disebabkan dhaifnya Zabban bin Faid dan juga Sahl bin Mu’az. 

Kesimpulan

Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa terdapat hadis-hadis yang sahih berkaitan orang yang mempelajari dan mengajarkan Al-Quran.

Selain itu juga, ibu bapa akan mendapat kelebihan tersebut kerana disebabkan merekalah yang menyebabkan anak itu mempelajari Al-Quran.

Tambahan pula, Al-Quran mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat di dalamnya.

Orang yang sentiasa melaziminya akan bertambah keberkatan di dalam kehidupannya dan kehidupan orang disekelilinya.

Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita sifat cintakan Al-Quran supaya dapat memberi syafaat kepada kita di akhirat kelak.