Jika kad pengenalan anda hilang, jangan sekali-kali buat laporan polis palsu mengatakan anda diragut dan sebagainya untuk mengelak daripada membayar denda. Inilah pengajaran yang didapati oleh seorang lelaki di Petaling Jaya baru-baru ini.

Gara-gara tidak mahu membayar denda kerana kehilangan kad pengenalan, seorang lelaki bertindak membuat laporan polis palsu kononnya beliau menjadi mangsa kes ragut, di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faizal berkata lelaki berusia 26 tahun itu membuat laporan polis dengan mendakwa dia diragut semasa berada di kawasan Jalan Gasing, Petaling Jaya oleh dua suspek, kira-kira 6.15 petang.

Beliau berkata polis yang meragui kenyataannya telah memanggil semula lelaki itu, yang akhirnya mengaku bahawa kad pengenalan beliau sebenarnya hilang, dan laporan polis mengenai kejadian ragut yang dibuatnya adalah palsu.

“Lelaki itu berbuat demikian kerana bimbang tidak dapat memperbaharui kad pengenalannya atau perlu membayar denda kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki itu tidak ditahan, namun dijangka akan dihadap ke mahkamah dalam tempoh terdekat, selepas satu kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya supaya lelaki dituduh dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan akibat membuat laporan palsu.

Seksyen 182 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Nik Ezanee berkata tahun ini pihaknya menerima enam kes melibatkan orang awam membuat laporan polis palsu dan polis yang memandang serius perkara itu, mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan sesuka hati demi kepentingan peribadi.

Apa yang perlu anda buat bila hilang kad pengenalan?

Mengikut Peraturan 13, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990(Pindaan 2007) setiap orang yang hilang kad pengenalannya hendaklah dengan segera memohon kad pengenalan gantian.

Syarat permohonan

  1. Pemohon mestilah hadir dimana-mana kaunter JPN; atau

2. Memohon gantian kad pengenalan hilang secara atas talian di laman web (www.jpn.gov.my) melalui aplikasi “Sistem Gantian MyKad” bagi permohonan yang tidak melibatkan pertukaran gambar atau maklumat pemohon yang bertaraf Warganegara.

Prosedur permohonan

  1. Pemohon perlu hadir ke mana-mana pejabat JPN yang berhampiran untuk permohonan gantian hilang kad pengenalan.

2. Perlu mengemukakan laporan polis sama ada bagi kes kehilangan kad pengenalan akibat jenayah (bagi kehilangan kali pertama dan seterusnya) ataupun akibat kecuaian (diwajibkan bagi kes kehilangan kali kedua dan seterusnya). Laporan polis perlu menyatakan dengan jelas butir-butir kejadian serta menyebut butir-butir Kad Pengenalan yang hilang.

Dokumen sokongan (asal dan salinan) yang perlu disediakan

1. Surat pengesahan atau Kad Kebajikan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Surat pengesahan dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli atau Penghulu atau Ketua Kampung atau Ketua Kaum atau Pejabat Daerah atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung [bagi orang-orang miskin atau daif atau orang-orang kurang upaya (OKU)]; atau

2. Surat pengesahan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Jabatan Bomba dan Penyelamat atau Penghulu atau Ketua Kampung atau Ketua Kaum atau Pejabat Daerah atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung [bagi orang-orang yang ditimpa bencana alam]; atau

3. Bagi kehilangan Kad Pengenalan yang disebabkan kes rompakan, samun, kecurian, malapetaka dan seumpamanya,laporan polis perlu disertakan yang menyatakan dengan jelas mengenai butir-butir kejadian dan Kad Pengenalan yang hilang.

4.  Bagi pertukaran alamat, perlu mengemukakan Bil elektrik /bil air / bil pembentungan / bil utiliti / cukai pintu / cukai taksiran / borang taksiran cukai pendapatan/ perjanjian jual beli rumah/ perjanjian atau resit sewa rumah / dokumen sokongan dari Penghulu/ Ketua Kampung/ Tuai Rumah / ADUN / Ahli Parlimen / Majikan/ Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau lain-lain dokumen seumpamanya. (ASAL ATAU SALINAN YANG DISAHKAN)

Denda kehilangan

Untuk warganegara (MyKad atau MyTentera sahaja)

KehilanganBayaran Permohonan (RM)Bayaran Proses (RM)Jumlah Bayaran (RM)
Kali Pertama10.00100.00110.00
Kali Kedua10.00300.00310.00
Kali Ketiga dan seterusnya10.001,000.001,010.00
Bagi permohonan melalui aplikasi “Sistem Gantian MyKad” di portal JPN bayaran hanya menggunakan kad kredit sahaja.

Untuk bukan warganegara (MyPR atau MyKAS sahaja)

KehilanganBayaran Permohonan (RM)Bayaran Proses (RM)Jumlah Bayaran (RM)
Kali Pertama40.00100.00140.00
Kali Kedua40.00300.00340.00
Kali Ketiga dan seterusnya40.001,000.001,040.00
Bagi permohonan melalui aplikasi “Sistem Gantian MyKad” di portal JPN bayaran hanya menggunakan kad kredit sahaja.

Pengembalian wang tidak akan dipertimbangkan bagi permohonan gantian hilang Kad Pengenalan yang telah diproses oleh Bahagian Kad Pengenalan atau sekiranya Kad Pengenalan lama dijumpai semula.

Sumber: