Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tempoh tiga bulan lagi bermula 1 Oktober ini.

Menteri Pengajian tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata penangguhan itu membabitkan jumlah bayaran balik kira-kira RM375 juta.

“Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan pemberian penangguhan pembayaran pinjaman PTPTN secara automatik kepada semua peminjam mulai 19 Mac hingga 30 September 2020.

Ini bermakna dalam tempoh tersebut, peminjam diberikan penangguhan untuk membayar balik pinjaman dan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik COVID-19 berkuat kuasa.

Tempoh bayaran balik akan dilanjutkan melalui penstrukturan semula pinjaman yang dibuat secara automatik kepada semua peminjam yang tidak mempunyai tunggakan sebelum penangguhan bayaran balik COVID-19 diberikan.

Penstrukturan semula pinjaman tidak akan memberi kesan kepada rekod peminjam di CCRIS selagi mana peminjam tidak mempunyai tunggakan terdahulu.

Rekod CCRIS peminjam adalah sama seperti sebelum penangguhan dilaksanakan kerana tempoh penangguhan dianggap tempoh moratorium. Walau bagaimanapun, sekiranya peminjam masih meneruskan pembayaran balik, rekod akan dikemas kini berdasarkan bayaran yang dibuat.

Bagaimanapun kos pentadbiran/ujrah tetap dikenakan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik sepertimana penangguhan sedia ada.

Sumber: