Keistimewaan diberikan kepada suami atau isteri yang terpisah kerana bekerja tidak boleh digunapakai untuk tujuan balik kampung sempena Aidilfitri.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu bukan untuk hari raya, tapi hari-hari biasa saja.
“Untuk pasangan yang nak menziarahi suami atau isteri di tempat lain sepatutnya bukan berlaku pada hari raya. Itu kebenaran untuk hari-hari biasa.
“Jadi ramai ambil kesempatan kerana kebenaran tersebut maka dia pun nak balik beraya,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Selasa petang.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata pasangan tersebut masih perlu mengemukakan permohonan kepada Polis Diraja Negeri (PDRM) untuk mendapatkan kebenaran perjalanan rentas negeri.
“Kalau polis berpuas hati tujuan dia balik bukan untuk raya tapi benar-benar kerana lama sangat tak balik rindu dengan keluarga, nak dibenarkan terserah kepada polis.
“Tapi peraturan umumnya nak balik merentas negeri untuk raya tak boleh termasuk melibatkan kes suami isteri. Yang kita benarkan dulu bukan waktu hari raya tapi hari lain,” katanya.
Justeru, beliau menasihati mereka yang ingin berbuat demikian supaya meminta kebenaran daripada pihak polis.
“Jadi saya nasihatkan siapa berminat balik macam tu merentas negeri, jumpa polis… kalau polis benarkan, benarkanlah, kalau tak, masih tak dibenarkan balik ke kampung,” katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata masih terdapat individu yang cuba merentas negeri untuk balik ke kampung meskipun tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.
“Semalam juga sebanyak 1,633 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarahkan berpatah balik oleh PDRM.
“Ingin diingatkan sekali lagi pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan kecuali atas hal kecemasan atau kerja dan kebenaran rentas negeri perlu dikeluarkan polis,” katanya.