Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran bahawa resepi masak lemang dalam tin minuman adalah tak selamat.

Menurut KKM, tin memang digunakan secara meluas sebagai salah satu teknik pembungkusan makanan/minuman yang selamat.

Bagaimanapun ia tidak dibuat untuk digunakan semula sebagai bekas memasak.

Ini kerana bahan makanan yang dimasak boleh bertindak balas dengan bahan kimia dalam tin pada suhu panas, sekaligus meningkatkan kebarangkalian pencemaran kimia pada makanan yang dimasak.

Pencemaran bisphenol A

Difahamkan pencemaran kimia yang dimaksudkan oleh KKM adalah pencemaran bisphenol A.

Untuk pengetahuan anda, bahagian dalaman tin minuman sebenarnya telah disembur dengan lapisan polimer epoxy yang mengandungi bisphenol A.

Lapisan epoxy ini bertujuan untuk melindungi aluminium daripada karat apabila kandungan berasid seperti minuman berkarbonat dimasukkan, sekaligus mengubah rasa dan kualiti minuman.

Pada suhu sejuk dan suhu bilik, bisphenol A tidak mendatangkan apa-apa bahaya.

Tetapi apabila didedahkan pada suhu melebihi 158 darjah Celcius, bisphenol A akan cair dan meresap dalam makanan.

Perlu diingat, apabila lemang yang anda masukkan dalam tin itu berpotensi didedahkan kepada suhu melebihi 158 darjah Celcius, terutamanya apabila dimasak dalam permukaan tertutup (tekanan meningkat, suhu pun meningkat menurut Ideal Gas Law.

Mana-mana ahli kimia boleh memberitahu anda apabila bisphenol A melepasi takat leburnya dan meresap masuk dalam makanan, ia berpotensi untuk membahayakan kesihatan.

Label bisphenol A sendiri disertakan dengan amaran bahaya iaitu GHS07 dan GHS08. Kesan-kesanya kepada manusia adalah seperti berikut:

  • Toksik akut (mulut, kulit dan hidung)
  • Radang kulit
  • Radang mata
  • Keracunan makanan
  • Kanser

Gara-gara resepi lemang tin yang viral

Sebelum ini resepi lemang tin menjadi tular di media sosial berikutan kesukaran orang ramai untuk mendapatkan lemang buluh selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sekali pandang, ia nampak macam alternatif yang baik untuk lemang buluh. Rupa lemangnya pun cantik dan cukup masak seperti lemang buluh. Cuma malangnya apabila dimasak dalam tin minuman, ia berpotensi menyebabkan keracunan kimia dalam makanan.

Oleh itu pastikan anda tidak mencuba memasak lemang tin yang sedang berleluasa perkongsiannya di media sosial. Sebarkan maklumat ini kepada keluarga dan rakan-rakan anda.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan: