Pada tahun 2004, nama Richard Sandrak ‘meletup’ selepas dokumentari bertajuk ‘The World’s Strongest Boy’ disiarkan di sebuah stesen televisyen di Britain.
Dalam dokumentari tersebut, Sandrak dilihat memperagakan fizikal badannya yang seperti Mr Universe di sebauh pentas peragaan di Las Vegas. Abdomen perutnya tak ada six pack, sebaliknya eight pack. Setiap ototnya jelas kelihatan, seperti dibina di kilang robot.
Selain sukan bina badan, budak berumur 8 tahun ini turut mahir dalam seni mempertahankan diri karate. Beliau boleh melakukan splits, membengkokkan badannya semahir contortionist dan membuat bench-press 3 kali berat badannya. Jumlah peratus lemak badannya pula kurang 5%.
Dokumentari tersebut menjadi tular empat tahun selepas dirakam. Bermakna pada masa namanya meletup di Eropah, Richard Sandrak sudah berumur 12 tahun.
Sejak itu Sandrak digelar Little Hercules dan The Strongest Boy in The World.
Persoalannya sekarang – bagaimana kanak-kanak 8 tahun ini berjaya mendapat fizikal badan yang ramai lelaki dewasa nak?
Dilatih ibu bapa sejak berumur 6 bulan
Cerita Sandrak bermula pada tahun 1994 ketika ibu bapanya membawanya berhijrah dari Ukraine ke Amerika Syarikat. Pada ketika itu, Sandrak baru berusia 2 tahun.
Menurut laporan media pada ketika itu, ibu bapa Sandrak tidak menunggu lama untuk melatih anak mereka. Sejak usia 2 tahun lagi Sandrak telah didedahkan dengan latihan kekuatan dan fleksibiliti.
Tetapi menurut Sandrak sendiri dalam satu temuramah bersama akhbar Sunday Mirror, beliau sebenarnya telah dilatih oleh ibu bapanya sejak berusia enam bulan!
Pada mulanya duduk di Pennsylvania, ibu bapa Sandrak kemudiannya berpindah ke California apabila menyedari fizikal anak mereka mula mendapat perhatian media. Mereka berharap penghijrahan ini dapat memberikan banyak publisiti dan peluang komersil dari Hollywood kepada anak mereka.
Doktor sangsi
Seiring dengan pertambahan publisitinya, Sandrak turut mendapat perhatian daripada komuniti perubatan. Majoriti doktor yang melihat fizikal Little Hercules itu sangsi dengan dakwaan bapa Sandrak yang mengatakan otot anaknya terhasil daripada latihan semata-mata.
Doktor mengesyaki ibu bapa Sandrak ada memberikan anak mereka steroid, sejenis dadah yang semestinya tidak diperlukan oleh budak berumur 8 tahun.
Sudah pastilah ibu bapa Sandrak menafikan dakwaan tersebut. Menurut mereka, Sandrak menjalani rejim latihan selama 6-7 jam sehari.
Tetapi jumlah orang yang sangsi dengan ibu bapa Sandrak semakin bertambah. Terutamanya selepas bapa Sandrak, Pavel ditangkap polis selepas memecah masuk kedai untuk mencuri serbuk protein.
Salah seorang yang jadi skeptikal adalah pelatih Sandrak sendiri iaitu Frank Giardin. Beliau syak ibu bapa Sandrak menyalahgunakan steroid untuk membina fizikal anak mereka. Tidak lama kemudian, Giardin berhenti melatih Sandrak.
Berhenti berlatih
Situasi menjadi bertambah buruk selepas polis menangkap bapa Sandrak atas dakwaan membelasah ibunya. Media melaporkan Sandrak sendiri yang menelefon polis supaya menangkap bapanya.
Insiden ini membuatkan Sandrak berhenti berlatih. Akibatnya fizikal Sandrak berubah – menjadi normal. Pipinya semakin bulat. Sandrak masih lagi berlatih, tetapi hanya untuk memastikan badannya nampak cantik di TV.
Peluang berlatih tanpa bapanya ini digunakan oleh Sandrak untuk memaksimumkan popularitinya dengan berlakon. Satu-satunya filem Hollywood yang dibintangi beliau adalah filem 2009 bertajuk ‘Little Hercules 3D’ (turut dibintangi oleh Hulk Hogan).
Reviu filem ini bagaimanapun sangat teruk sehinggakan ia hanya mendapat 2 bintang (daripada 10 bintang) di IMDB.
Minat bidang lain
Ketika ditemuramah media pada tahun 2015 (ketika berusia 23 tahun), Sandrak memberitahu beliau tidak mempunyai apa-apa penyesalan berhubung pengalaman anehnya ketika kecil.
“Saya bangga dengan apa yang saya buat semasa kecil. Saya tak ada masalah ceritakan semuanya kepada orang lain. Cuma saya tak nak terkenang-kenang sangat dengan benda yang lepas,” kata beliau kepada Inside Edition.
Pada tahun sama juga, Inside Edition mendedahkan Sandrak bekerja sebagai stunt man di taman tema Universal Studio.
Kini Richard Sandrak sudah meninggalkan kehidupannya di gimnasium. Menurut Sandrak, beliau kini ‘sudah bosan mengangkat besi’ di gimnasium. Jadi untuk mengekalkan kecergasannya, beliau beralih kepada sukan skateboard.
Pada masa yang sama, beliau juga menggunakan gajinya bekerja di taman tema Universal Studio untuk mengejar cita-cita dan minat terbarunya iaitu kuantum fizik.
“Saya nak jadi saintis kuantum. Secara spesifiknya, saya nak bekerja sebagai jurutera di NASA.”
Tetapi Sandrak mengaku masih belum menutup pintu Hollywood jika ada rezeki. “Kalau ada orang bagi tawaran berlakon, sudah pasti saya akan terima. Kenapa tidak?”
Kisah Richard Sandrak ini merupakan peringatan kepada kita bahawa dalam hal-ehwal masa depan anak-anak, kita tak boleh menentukannya tanpa pertimbangan minat daripada anak sendiri.
Sebagai ibu bapa, kita boleh mendedahkan anak kita kepada beberapa lorong kerjaya dan minat. Tetapi akhir kalamnya, anak kita sendiri yang kena menentukan haluan tuju hidupnya. Sebagai ibu bapa, kita hanya bertugas sebagai pembimbing sahaja.