Umum mengetahui, Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pada petang tadi telah mengumumkan kemudahan pengeluaran i-Lestari dalam usaha mengurangkan beban dihadapi rakyat Malaysia susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak COVID-19.
Kemudahan Pengeluaran i-Lestari itu membolehkan semua pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun melakukan pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing.
Jumlah pengeluaran tersebut adalah tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan. Pengeluaran itu bagaimanapun bukanlah satu paksaan dari pihak kerajaan, bagi yang merasakan tidak perlu untuk mengeluarkan wang anda, tidak ada masalah.
Bagaimana cara untuk mengeluarkan duit tersebut?
Menurut sumber Bernama, pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran untuk pengeluaran kemudahan i-Lestari menerusi emel atau pos bermula 1 April ini manakala bagi pendaftaran dalam talian (online) pula akan bermula 1 Mei.
Perbezaan waktu pendaftaran itu adalah kerana seperti kita sedia maklum, proses pendaftaran menerusi emel dan pos pastinya memakan masa lebih lama berbanding proses secara dalam talian. Perkara itu turut diakui sendiri oleh Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias.
“Permohonan secara emel dan pos mungkin memakan masa lebih lama kerana pengesahan manual perlu dibuat dengan lebih terperinci bagi melindungi keselamatan akaun ahli.”
Sehubungan dengan itu, pihak KWSP memberikan saranan supaya para pencarum dapat membuat pendaftaran secara dalam talian kerana hanya proses tersebut hanya memakan masa tiga hari sahaja.
Alizakri dalam pada itu turut menjelaskan bahawa para pencarum akan menerima bayaran ke akaun masing-masing bermula bulan Mei ini.
Bagi yang masih lagi kurang memahami mengenai proses pengeluaran ini, jangan risau kerana pihak KWSP akan mengeluarkan butiran lebih terperinci mengenai kaedah pengeluaran dan permohonan Kemudahan Pengeluaran i-Lestari ini kepada umum sebelum 31 Mac.
Selain itu anda turut boleh melayari laman web, Facebook dan Twitter KWSP untuk sebarang maklumat lanjut.
Inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan ini dijangka akan dimanfaatkan oleh hampir 12 juta pencarum KWSP dan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.
Mungkin ada yang mempertikaikan langkah kemudahan tersebut, tetapi percayalah pastinya ramai juga yang amat bersyukur dengan pengumuman dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin ini.
Kredit foto: Facebook Muhyiddin Yassin (Pejabat Perdana Menteri)