Resepi ayam KFC bukan lagi rahsia. Jika anda perasan, perkataan ‘rahsia’ tidak lagi digunakan dalam kempen promosi KFC. Tapi jika anda tengok balik iklan KFC yang lama-lama, mereka menggunakan perkataan ‘rahsia’ sebagai alat pemasaran kerana KFC tahu – lagi orang tak tahu, lagi orang nak cuba.
Resepi ayam KFC yang dikatakan menggunakan 11 herba dan rempah ‘rahsia’ ini boleh dikatakan sudah bukan rahsia lagi apabila sebuah artikel Chicago Tribune pada tahun 2016 ini diterbitkan.
Dalam artikel ini, penulisnya menceritakan pengalamannya melawat Harland Sanders Cafe and Museum di Corbin, Kentucky.
Di pekan Corbin inilah, Harland David Sanders – kemudiannya dikenali sebagai Colonel Sanders – memulakan perniagaan ayam goreng di sebuah restoran kecil miliknya pada 1941.
Kini restoran kecil itu berfungsi sebagai restoran dan muzium. Ia dijaga oleh anak saudara Colonel Sanders, Joe Ledington.
Di muzium inilah, Ledington menyimpan sebuah album pemberian daripada ibu saudaranya, Claudia Ledington – isteri perkahwinan kedua Colonel Sanders pada lewat 1940-an.
Dan daripada album ini juga, wartawan Chicago Tribune menjumpai sekeping nota kertas yang tertulis 11 herba dan rempah beserta dengan sukatannya. Ledington mengesahkan inilah 11 herba dan rempah ‘rahisa’ yang digunakan oleh Colonel Sanders untuk menggoreng ayamnya.
Adakah resepi ini menghasilkan ayam goreng sama seperti KFC?
Berdasarkan nota di atas, wartawan Chicago Tribune kemudiannya menguji resepi ini untuk menjawab soalan: adakah resepi ini akan menghasilkan ayam goreng sama seperti KFC?
Nota tersebut memberitahu 11 herba dan rempah dalam senarai perlu dicampurkan dengan dua cawan ‘tepung putih’. Tepung putih ini merujuk kepada tepung gandum halus berwarna putih (contoh: tepung gandum Cap Sauh di Malaysia).
Sukatan herba dan rempah pula tidak dijelaskan sama ada ‘Ts’ itu merujuk kepada ‘table spoon’ (sudu besar) atau ‘tea spoon’ (sudu camca/sudu teh). Tetapi hasil eksperimen yang dilakukan oleh Chicago Tribune, resepi itu merujuk kepada ‘table spoon’.
“Selepas membandingkan dua jenis gorengan (sudu besar vs sudu camca), penguji pantas bersetuju mengatakan Ts bermaksud table spoon. Selepas menggoreng, resepi yang menggunakan teaspoon tidak mempunyai intensiti rasa yang kami cari.”
– Joe Gray (Chicago Tribune) pada 19 Ogos 2016
Nama 11 herba dan rempah yang terlibat pula adalah:
- 2/3 sudu besar garam
- 1/2 sudu besar thyme
- 1/2 sudu besar daun selasih (basil)
- 1/3 sudu besar oregano
- 1 sudu besar garam saderi (celery salt)
- 1 sudu besar lada hitam
- 1 sudu besar serbuk mustard kering
- 4 sudu besar paprika
- 2 sudu besar garam bawang putih (garlic salt)
- 1 sudu besar serbuk halia (ground ginger)
- 3 sudu besar lada putih
Arahan memasak
Disebabkan nota di atas tiada arahan memasak, Chicago Tribune menyarankan langkah berikut untuk memastikan adunan 11 herba dan rempah itu betul-betul menjadi seperti ayam KFC:
1. Sediakan dua adunan 11 Herba & Rempah ke dua mangkuk berbeza.
2. Sadurkan ayam anda dengan adunan 11 Herba & Rempah di mangkuk #1. Kemudian rendam ayam dalam buttermilk sehingga ayam betul-betul tenggelam. Tutup mangkuk dan sejukkan semalaman.
3. Masukkan 2 cawan tepung gandum ke dalam mangkuk #2.
4. Angkat ayam dari mangkuk #1 sehingga tiada titisan buttermilk. Kemudian sadurkan ayam dengan adunan mangkuk #2 secara rata.
5. Goreng dalam minyak penuh bersuhu 176.7ºC selama 5 minit. Jika minyak anda sikit, goreng sehingga suhu daging ayam mencapai 74ºC. Jika anda guna minyak goreng lama, angkat ayam bila dah mencapai warna yang anda nak dan masukkan ke dalam ketuhar bersuhu 74ºC selama 15-20 minit.
Tips penting
1. Jika anda betul-betul mahu mengikut resepi ayam KFC yang betul-betul asli, gunakan periuk tekanan (pressure cooker) untuk menggoreng. Gunakan tekanan sebanyak 12 pounds selama 10 minit.
2. Jangan buat double coating (sadurkan adunan sebanyak dua kali). Nanti kulit ayam anda jadi terlalu tebal.
3. Peha (drumstick) masak lebih cepat berbanding pangkal paha (thighs). Jaga-jaga semasa memasak peha dan pangkal peha.
4. Resepi ini dicipta sebelum MSG (Ajinomoto) dicipta. Jadi untuk mendapat rasa yang betul-betul seperti KFC sekarang, tambah MSG secukup rasa dalam adunan herba dan rempah.
Keputusan: sama dengan KFC atau tidak?
Berdasarkan percubaan yang dibuat oleh Chicago Tribune, rasa ayam yang dimasak menggunakan resepi di atas SAMA dengan rasa ayam KFC. Mereka menulis:
“Bagaimana rasanya? Sangat sedap. Sebenarnya lagi sedap dari ayam KFC sebenar. Dengan syarat, anda kena tambah sedikit MSG. Dari segi rupa, ayam yang kami masak sama sahaja rupanya dengan ayam yang kami beli dari KFC.”
Sebuah channel YouTube, HellthyJunkFood turut melakukan cubaan sama dengan menggunakan resepi ayam KFC yang didedahkan oleh artikel Chicago Tribune. Mereka memberitahu:
“Dari segi rupa, ayam yang kami masak tiada bezanya dengan ayam yang kami beli dari KFC – kecuali saiz ayam KFC lebih kecil. Dari segi rasa, juga tiada bezanya. Dua-dua sedap.”
Anda boleh lihat proses bagaimana mereka menggoreng ayam mereka sendiri mengikut resepi seperti di atas: