Nostalgia Ramadan sewaktu kita sambut di kampung dahulu pasti menggamit memori. Apatah lagi untuk tahun kedua berturut-turut, kita tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman dan menyambut Ramadan pertama bersama keluarga tercinta.

Berikut merupakan lagu-lagu malar segar (evergreen) apabila tibanya Ramadan yang acapkali berkumandang di corong radio sewaktu kita kecil dahulu.

1 – Al Bint El Shalabeya (البنت الشلبية) oleh Fairuz

Lagu ini selalu dimainkan selepas selesai azan Maghrib, nak membawa ke waktu Isyak. Fairuz atau nama sebenarnya Nouhad Wadie’ Haddad adalah penyanyi paling popular seantero jazirah Arab. Suaranya yang merdu dan mendayu ini dikatakan menjadi simbol perpaduan utuh antara penganut Islam dan Kristian di negara asalnya, Labenon.

Populariti Fairuz ini selalu dibandingkan dengan Elvis Presley yang dianggap setaraf dengan beliau. Menariknya, lagu Gadis Shalabiya (terjemahan dari Al Bint El Shalabiya) ini tidaklah membawa apa-apa maksud dari segi sambutan Ramadan.

Lagu ini berkisar tentang cinta dan kasih terhadap gadis cantik dari Shalabiya iaitu sebuah bandar lama di Andalusia. Ada juga yang berpandangan Shalabiya bermaksud kecantikan dari dialek lama dari Levant, satu kawasan Timur Mediterranean di Asia Barat yang meliputi Syria dan Labenon.

2 – Ramadan oleh Orkes Al-Wathan

Orkes Al-Wathan dipimpin oleh A Mukhlis. Orkes membawa maksud pasukan pancaragam yang kecil bilangan ahlinya. Kumpulan nasyid ini hadir di Kota Medan, Indonesia selepas tertubuhnya El-Suraya.

Ada beberapa pandangan yang menyatakan lagu Ramadan ini mula-mula dinyanyikan oleh Orkes El-Suraya. Namun, carian di Spotify juga tidak menunjukkan lagu ini di dalam senarai lagu Orkes El-Suraya ataupun Orkes Al-Wathan.

Dan lagu sebenar yang dinyanyikan oleh Orkes El Suraya bertajuk Bulan Puasa.

3 – Bulan Puasa oleh Orkes El Suraya

Kedua-dua kumpulan nasyid ini sebenarnya mendominasi Kepulauan Asia Tenggara pada tahun 1960-1980an. Dengan suara lunak merdu Allahyarhamah Hajah Nur Asiah Jamil, Orkes El-Suraya yang dipimpin oleh Haji Ahmad Baqi ini menjadi pelopor kepada irama padang pasir yang kemudiannya terus popular sehingga hari ini.

Kepopularan Orkes El-Suraya dan Al-Wathan ini terhenti dan disambung oleh dominasi Al-Jawaher dari Singapura dan kemudiannya Nada Murni dari Malaysia. Pada tahun 1990an pula kita mula mengenal Raihan, Rabbani dan Hijaz.

4 – Harapan Ramadan oleh Man Bai dan Raihan

Raihan merupakan nama besar yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri nasyid tempatan. Album Puji-Pujian yang diterbitkan oleh kumpulan nasyid ini merupakan album paling banyak terjual dalam sejarah industri hiburan negara, sebanyak 3.5 juta! Itu belum dicampur dengan jualan secara cetak rompak yang tidak terkawal pada tahun 1990an.

Man Bai atau nama sebenarnya Abdul Rahman Osman pula merupakan vokalis band rock terkenal, Gersang. Kerjaya nyanyian solo Man Bai kemudiannya bermula dengan lagu hit Kau Ilhamku yang masih menjadi siulan.

Sehingga hari ini, lagi berhantu ciptaan Man Bai dan Farihin Abdul Fatah ini tentu sekali menggamit memori kita semua apabila tibanya bulan Ramadan.

5 – Berkat Ramadan oleh Imad

Lagu Berkat Ramadan ini terkandung di dalam album sulung Imad bertajuk Munaya (harapanku). Imad AbdulRahman El-Kheir merupakan penyanyi, penulis khat dan pengkarya yang lahir di Kuwait, dibesarkan di Libya dan mendapat pendidikan awal seni di Lubnan.

Berkelulusan Syariah dari Syria dan Universiti Islam Madinah, Imad mengecapi kepopularannya sepanjang awal 2000. Beliau kemudiannya menerbitkan album kedua bertajuk Munaya II.

Lagu Berkat Ramadan amat bermakna kerana mengajar kita tentang amalan yang patut dilakukan sepajang bulan mulia ini.

Sumber: