Cincin kahwin dan rantai tangan adalah dua benda wajib beli bagi setiap pasangan yang merancang untuk bertunang dan kemudiannya berkahwin. Tapi ramai yang clueless dalam bab membeli cincin dan rantai di kedai emas – sampai tersalah beli.
Kali ini Rencah akan kongsikan 14 tips membeli cincin dan rantai sebagai panduan kepada pasangan yang nak kahwin. Tips-tips ini dikongsikan oleh staf kedai emas sendiri yang sudah berhadapan dengan ragam ribuan pasangan nak kahwin seperti anda.
1. Tahu bajet dan beritahu bajet kepada staf
Biasanya soalan pertama yang staf kedai emas akan tanya kepada pasangan yang nak tunang/kahwin adalah: berapa bajet anda?
Tujuannya adalah supaya staf tahu cincin atau rantai mana yang berada dalam linkungan bajet anda. Ramai pasangan biasanya malu nak bagitahu bajet mereka. Jadi mereka buang masa mencuba cincin dan rantai yang mereka tak mampu. Bila dah cuba, dah suka, tapi bajet tak kena – kan dah frust tu.
2. Tahu saiz
Sebelum membeli, pastikan anda tahu saiz cincin dan rantai tangan yang mahu dibeli.
Biasanya pasangan yang datang ke kedai emas dah tahu design apa yang dia nak beli lepas research di Instagram dan Facebook kedai emas. Tapi dia tak tahu design itu ada saiz dia atau tak. Jadi tanya dulu kedai emas itu, ada tak saiz sekian-sekian untuk design tersebut.
3. Kalau tak tahu saiz, jangan hantar wakil untuk beli
Kadang-kadang, ada orang hantar wakil untuk tolong belikan cincin dan rantai untuk kahwin. Tapi tak tahu saiz apa dia pakai.
Ya, memang susah nak curi masa pergi kedai emas bila kena kerja. Sebab itu kena rancang masa elok-elok. Check waktu operasi kedai emas yang kita nak pergi. Jangan hantar wakil pergi beli kalau tak tahu saiz apa yang anda pakai. Naya je kalau barang yang dibeli tak muat.
4. Check harga emas dulu
Harga emas dunia memang berubah setiap hari. Tapi kalau perubahannya tak drastik, kedai emas takkan sesuka hati naik dan turunkan harga emasnya. Jadi sebelum membeli, check dulu harga emas di kedai emas yang anda nak pergi.
Kalau anda rajin, anda boleh trend harga emas dunia. Masa harga emas dunia jatuh, pergi beli cincin dan rantai cepat-cepat. Contohnya masa 2018 dulu, harga emas dalam lingkungan RM160/g. Sekarang dah naik lebih RM200/g. Ini bermakna cincin yang harganya RM500 masa 2018 akan berharga RM625 pada 2020.
5. Kalau bajet sikit, utamakan beli cincin
Kalau bajet anda kecil, utamakan beli cincin dahulu. Ini kerana dengan bajet kecil, anda masih boleh dapatkan cincin yang padu. Tapi untuk dapatkan rantai yang padu, anda kena sediakan bajet besar.
Kalau anda split bajet kecil tersebut untuk beli cincin dan rantai juga, anda akan dapat cincin nipis dan rantai tangan yang halus. Orang perempuan nak pakai pun segan jadinya.
6. Rantai halus cepat putus
Seperti yang kami beritahu tadi, rantai tangan yang halus memang ada dijual untuk pengantin yang berbajet kecil. Tapi ia cepat putus. Jadi kalau bajet anda kecil, beli sahaja cincin. RM500 pun dah boleh dapat cincin emas yang padu.
7. Jangan beli last minute
Satu lagi benda yang pasangan baru nak kahwin selalu buat adalah beli last minute. Research dah lama. Tapi nikah lagi 2-3 hari baru beli. Jangan buat benda ni – sebab takut design yang anda minat tu dah sold out. Kalau ada pun, takut tak ada saiz anda.
8. Ikut saiz tangan yang nak pakai
Perlu diingat, saiz jari tangan kiri dan kanan anda tak sama. Kalau cincin jari tangan kanan anda saiz 13, tak semestinya cincin jari tangan kiri anda pun saiz 13. Pastikan anda tahu saiz tangan yang anda nak pakai.
9. Tukar purchase limit kad debit
Jika anda merancang untuk bayar pakai kad debit, pastikan anda sudah tukar withdrawal limit kad debit anda dulu sebelum datang kedai. Biasanya Maybank akan set default purchase limit kad debit pada RM500 sahaja! Kalau anda beli cincin dan rantai lebih RM500 pakai kad debit tersebut, anda akan hadapi masalah membayar.
Untuk panduan menukar spending limit kad debit, sila klik pautan berikut: Maybank | CIMB.
10. Jangan tertipu dengan janji ‘tanpa kos upah’
Kadang-kadang ada kedai emas akan bagitahu mereka tak cas upah. Ini rahsia industri: kedai macam ini biasanya dah cas upah siap-siap kat harga emas mereka. Kadang-kadang, kedai emas yang cas upah yang lagi murah! Jadi pastikan anda research juga kos upah setiap kedai.
Ingat! Kalau anda membeli cincin emas:
Harga yang anda perlu bayar = [berat cincin/rantai x harga emas semasa (RM xxx/g)] + kos upah
11. Harga cincin permata tak ikut berat
Berbeza dengan cincin emas yang harganya ditentukan oleh berat, harga cincin permata (macam Swarovski dan Zirconia) ditentukan oleh design. Makin cantik design cincin permata tersebut, makan mahal harganya.
12. Jangan tanya lelaki design apa yang lagi lawa
Bila tak tahu nak decide cincin atau rantai apa nak beli, jangan tanya pasangan lelaki anda yang mana lagi lawa. Sebab biasanya lelaki akan jawab, “Eh, awak yang nak pakai. Awak la pilih.”
Lepas tu kalau pasangan lelaki anda kata cincin B lagi lawa walaupun anda rasa cincin A lagi lawa, jangan beli cincin B. Beli cincin A. Sebab nanti anda akan tawar hati nak pakai. Nak jaga hati laki punya pasal, jangan sampai terbeli barang yang tak berkenan di hati.
13. Trade-in emas lama
Satu cara untuk anda membeli cincin kahwin dan rantai kahwin yang betul-betul anda suka tanpa bajet besar adalah dengan trade-in emas lama. Jika anda ada cincin atau rantai emas yang lama-lama, boleh trade-in dan gunakan duit trade-in untuk tambah bajet sedia ada.
14. Potong rantai memang ambil masa lama
Ramai pasangan marah staf sebab kena tunggu lama bila minta potong rantai atau kecilkan saiz cincin. Anda kena ingat, kerja tersebut bukannya kerja 5 minit. Kalau minta cuci emas, lain ceritanya sebab memang sekejap. Jadi banyakkan bersabar dan bagi tukang emas sedikit masa tau.