Saban tahun, pelbagai model motorsikal baharu diperkenalkan di negara kita. Baru-baru ini,Yamaha Y16ZR dilancarkan sebagai super moped terbaharu sambil Yamaha mengekalkan model Y15ZR ataupun kita lebih kenal dengan nama Ysuku.

Namun begitu, tahukah anda, terdapat 10 model motorsikal yang dianggap sebagai ‘panas’ dan kerap kali mengalami kecurian di Malaysia?

Ayuh kita soroti model-model motorsikal tersebut.

Tangga ke-10: Kawasaki KR150

Kredit gambar: https://www.carousell.com.my/p/kawasaki-kr150-193891670/

Lebih dikenali dengan nama Kawasaki KIPS ataupun Kawasaki Ninja 150, sebanyak 21 buah motorsikal ini mengalami kecurian sepanjang suku tahun pertama hingga suku tahun ketiga 2020. Pada tahun 2019 pula, sebanyak 25 buah motorsikal model ini dilaporkan hilang.

Motorsikal ini memasuki pasaran Malaysia pada tahun 1990-an dan berharga RM6,400 sewaktu dilancarkan.

Tangga ke-9: Honda EX5

Kredit gambar: https://www.bikesrepublic.com/featured/honda-ex5-malaysias-undisputed-king-cubs/

Tidak memeranjatkan apabila raja motor cub ini berada di dalam senarai. Sebanyak 2,051,530 buah motorsikal ini dihasilkan dan terjual di Malaysia sepanjang 26 tahun sejak 1987.

Sepanjang tahun 2020, sebanyak 26 buah motorsikal ini telah dicuri dari pemiliknya. Honda EX5 sebelum ini dijual pada harga RM4,700 dan kini digantikan oleh model baharu iaitu Honda EX5 Dream 110.

Tangga ke-8: Modenas Kriss

Kredit gambar: https://arenamotosikal.com/2020/08/23/modenas-kriss-110-edisi-merdeka-keluaran-tahun-1998/

Modenas Kriss merupakan motorsikal nasional yang pertama. Motosikal empat lejang itu dikeluarkan oleh Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) pada tahun 1996.

Modenas Kriss dianggap ikonik oleh pemilik-pemiliknya. Pada tahun pertamanya, 99,800 buah model motorsikal ini telah terjual. Sepanjang tahun 2020, sebanyak 55 buah Modenas Kriss dilaporkan hilang.

Tangga ke-7: Yamaha Ego

Kredit gambar: https://www.facebook.com/weechuansen/photos/pcb.3993894970685473/3993894140685556/

Yamaha Ego merupakan antara skuter Yamaha yang terawal dan terkenal dalam kalangan pengguna motorsikal. Pada tahun 2021, Hong Leong Yamaha telah memperkenalkan Ego Solariz sebagai skuter baharu bagi menggantikan model sebelum ini.

Sepanjang tahun 2020, sebanyak 69 buah motorsikal ini dilaporkan hilang, berbanding 87 buah pada tahun 2019.

Tangga ke-6: Honda Wave

Kredit gambar: https://www.carousell.com.my/p/honda-wave-110-rs-2011-second-hand-1049450167/

Seperti Honda EX5, abangnya iaitu Honda Wave 110 juga merupakan motorsikal yang dianggap satu lagenda. Kebiasaanya, pemilik Honda Wave yang tidak mahu bertukar ke Yamaha akan memilih Honda Wave selepas menggunakan EX5.

Pada tahun 2020, sebanyak 113 buah motorsikal ini dicuri, berbanding 192 buah pada tahun 2019.

Tangga ke-5: Yamaha Lagenda

Kredit gambar: https://arenamotosikal.com/2020/07/29/yamaha-lagenda-110-keluaran-2003-di-pasaran-malaysia/

Yamaha Lagenda 110 merupakan pesaing terdekat kepada Honda Wave 110. Nampaknya, dari sudut jumlah kecurian juga, kedua-dua motorsikal ini bersaing rapat.

Model ini merupakan penerus kesinambungan kepada Yamaha SR-X. Dijual pada harga RM4,679.50, motorsikal ini mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2000 dengan enjin 100cc.

Pada tahun 2020, sebanyak 155 buah motorsikal model ini dilaporkan hilang berbanding 184 buah pada jangka masa yang sama bagi tahun 2019.

Tangga ke-4: Yamaha 15ZR a.k.a Ysuku

Kredit gambar: https://www.carousell.com.my/p/yamaha-y15zr-ysuku-movistar-191000670/

Sekiraya Honda EX5 merupakan motorsikal pilihan sejak 26 tahun lalu, Yamaha Y15ZR mungkin boleh dinobatkan sebagai raja baharu.

Sejak dilancarkan pada bulan Oktober 2015, sebanyak tiga variasi Y15ZR telahpun dikeluarkan oleh Yamaha, dengan variasi kedua disasarkan terjual hampir 9,000 buah sebulan.

Sepanjang tahun 2020, sebanyak 315 buah motorsikal ini dilaporkan hilang, berbanding hanya 158 buah pada tahun 2019.

Tangga ke-3: Yamaha 125ZR

Kredit gambar: https://arenamotosikal.com/2020/08/27/yamaha-125zr-go-edition-m1-special-edition-2003-berharga-rm-85000-00-dibeli-oleh-peminat-dari-vietnam/2-9/

Yamaha 125ZR adalah ibarat barang kemas bagi pemiliknya. Masakan tidak, pada tahun 2017, harga jualannya adalah sekitar RM8,361.28.

Carian di laman sesawang mudah menunjukkan harga jualan tertinggi bagi model terpakai Yamaha 125ZR mencecah RM13,800 sebuah.

Tahukah anda, motorsikal Yamaha 125ZR Go edisi Valentio Rossi juga pernah mencecah harga RM85,000 untuk sebuah motorsikal new old stock (model lama yang tidak pernah digunakan).

Pada tahun 2020 sebanyak 355 buah motorsikal ini dilaporkan hilang berbanding 680 buah pada tahun 2019.

Tangga ke-2: Honda EX5 C100

Kredit gambar: https://motomalaya.net/blog/2017/08/26/honda-ex5/

Tidak mengejutkan apabila pengganti kepada Honda EX5 ini berada di tangga kedua dalam senarai motorsikal ‘panas’. Jumlah motorsikal ini yang banyak di jalan raya mungkin menjadi penyumbang kepada tingginya jumlah kecurian ini.

Pada tahun 2020, sebanyak 365 buah motorsikal ini dilaporkan hilang berbanding 647 pada tahun 2019. Secara puratanya, sebanyak sebuah motorsikal ini dilaporkan hilang dalam masa sehari sepanjang tahun lalu!

Motorsikal paling panas: Yamaha 135LC

Kredit gambar: https://imotorbike.my/my/ad/v6-yamaha-135-lc-212578

Sejak beberapa tahun yang lalu, Yamaha 135LC masih dianggap motorsikal paling ‘panas’ dalam kalangan penunggang motorsikal di negara kita. Terkenal disebabkan harga yang mesra pengguna untuk kelasnya, terdapat 6 variasi motorsikal ini pernah diperkenalkan.

Pada tahun 2019, sebanyak 1,267 buah motorsikal Yamaha 135LC dilaporkan hilang, manakala sejumlah 962 buah pula hilang pada tahun 2020.

Sekiranya anda merupakan pengguna kepada mana-mana model motorsikal dalam senarai ini, sentiasa gunakan kunci tambahan dan pastikan motorsikal anda diparkir di tempat yang selamat.

Nota: Statistik di atas dikeluarkan oleh Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia Berhad (VTREC) yang melaporkan mengenai kes kecurian kenderaan bagi suku pertama tahun 2020.

Sumber: