Hanya segelintir daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijangkiti virus Covid-19 pada kategori tiga dan empat selepas mereka lengkap menerima dua dos vaksin. Sementara itu, tidak ada mana-mana petugas kesihatan tersebut yang dijangkiti Covid-19 sehingga kategori lima. Dapatan tersebut adalah menurut data yang dikumpulkan oleh KKM dari 24 Februari hingga 14 Julai tahun ini.

Mengumumkan perkara tersebut di Twitternya semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata data terkini menunjukkan hanya 1.26 peratus daripada keseluruhan petugas KKM dijangkiti Covid-19. Jumlah tersebut mewakili 3,106 orang petugas kesihatan yang dijangkiti daripada keseluruhan 245,932 orang yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin mereka.

Vaksin berkesan mengurangkan impak Covid-19

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/695816/40-pekerja-kesihatan-dijangkiti-covid-19-lepas-vaksinasi

Sekiranya kita mengambil data dan angka daripada statistik petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini, dua dos lengkap vaksin mempunyai kadar keberkesanan setinggi 98.74 peratus. Vaksin juga dilihat berjaya mengurangkan impak terhadap mereka yang terkena jangkitan Covid-19. 

Daripada sejumlah 3,106 orang petugas kesihatan terkena jangkitan tersebut, seramai 3,099 dari mereka berada di kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala ataupun hanya mengalami gejala ringan seperti selsema dan demam. Seramai masing-masing tiga (0.1 peratus) berada di dalam kategori tiga dan empat orang (0.1 peratus) di kategori empat.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan tersebut juga, seramai 1,012 petugas kesihatan dirawat di bawah kategori satu yang mana tidak mengalami sebarang gejala. Selain itu, 2,088 petugas pula berada di kategori dua iaitu mereka yang mempunyai gejala ringan Covid-19.

Seramai tiga orang daripada petugas kesihatan berada di kategori tiga iaitu mengalami radang paru-paru, manakala empat orang daripada mereka berada di kategori keempat iaitu memerlukan oksigen. Infografik tersebut juga jelas menunjukkan, vaksin Covid-19 berjaya menghalang mana-mana petugas kesihatan berada di kategori kelima yang memerlukan kepada rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kadar vaksinasi yang semakin meningkat

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/839894/kadar-vaksinasi-malaysia-antara-terpantas-di-dunia

Setakat semalam, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencatat kadar pemberian vaksin tertinggi untuk empat hari berturut-turut apabila merekodkan 460,158 dos suntikan semalam. Jumlah tersebut melebihi 434,828 dos suntikan yang dicatatkan pada 14 Julai 2021.

Daripada jumlah tersebut, kini seramai 13,107,681 orang rakyat Malaysia telahpun menerima suntikan vaksin dos pertama dan kedua. Seramai 4,158,617 atau 17.8 peratus daripada mereka adalah penerima dos lengkap di seluruh negara, meningkat daripada 17.1 peratus yang dicatatkan pada 14 Julai. Setakat semalam juga, kadar kematian Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 6,613 orang dan jangkitan baharu mencapai 13,215 kes.

Kadar vaksinasi yang semakin meningkat ini merupakan satu-satunya jalan keluar ampuh yang kita miliki untuk mengurangkan impak pandemik terhadap kesihatan dan kehidupan kita. Penerima vaksin lengkap juga masih perlu berhati-hati memandangkan terdapat varian mutasi baharu yang dilaporkan berada di negara kita. Selain itu juga, penerima tersebut hanya akan memiliki perlindungan maksima daripada Covid-19 selama dua hingga tiga minggu selepas menerima dos lengkap.