United Kingdom (UK) dilaporkan akan menghantar tambahan 1,000 ventilator oksigen ke India sebagai tambahan kepada 495 tangki oksigen dan 200 ventilator yang telah dihantar sebelum ini. India sedang berhadapan dengan lonjakan tertinggi dalam peningkatan jangkitan virus Covid-19.
Laporan Reuters menunjukkan bahawa selepas sepuluh hari berturut-turut merekodkan jumlah kes melebihi 300,000 sehari, kadar jangkitan terus meningkat kepada 401,933 semalam. Kesemua kes yang melebihi 300,000 jangkitan adalah rekod tertinggi yang pernah dicatatkan oleh sesebuah negara. India juga merekodkan kematian sebanyak 211,853 orang.
Keperluan paling mendesak yang sedang memerlukan perhatian dan bantuan dunia adalah vaksin, ventilator dan tangki oksigen. Di ibu negaranya, 976 tan bekalan oksigen diperlukan di New Delhi dengan hanya 312 tan oksigen dapat diterima. Keadaan ini adalah lebih membimbangkan di kawasan pendalaman yang kurang akses kepada kesihatan dan teknologi bagi melaporkan keadaan sebenar.
Sebelum ini, Russia dilapor akan menghantar 22 unit ventilator oksigen, alat pernafasan (75), monitor perubatan (150) dan ubat-ubatan (200,000). Negara itu juga telahpun mengeksport 150,000 vaksin Spuntik-V ke India secara percuma sebagai bantuan kecemasan. Dua pesawat pengangkut dilapor akan membawa lebih 22 tan peralatan perubatan dari Russia ke India. Amerika Syarikat (AS) pula berjanji untuk mengeksport jutaan dos vaksin AstraZeneca ke India.