Selepas Langkawi dibenarkan untuk menerima kedatangan pelancong mulai 16 September ini, pelbagai tawaran pelancongan menarik disediakan. Program pembukaan semula Langkawi di bawah gelembung pelancongan itu dijangka bakal menarik minat 5,000 pelancong setiap hari.
Menurut kenyataan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), hampir semua produk pelancongan di pulau itu dijangka dibuka kepada pelancong. Bagaimanapun ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sehingga minggu lalu, sebanyak 1,238 syarikat menyertai kursus pematuhan SOP yang menyaksikan mereka dinilai serta diberikan sijil.
Terbaru, kesemua anak syarikat Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) turut menyediakan pelbagai tawaran istimewa sempena pembukaan semula Langkawi.
Tiket penerbangan istimewa Malaysia Airlines
Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) melalui anak syarikatnya, Malaysia Airlines, Firefly dan MHholidays turut menyediakan pelbagai tawaran istimewa. Tempahan tiket penerbangan dengan diskaun istimewa untuk ke Langkawi dibuka sekarang sehingga 30 September depan. Tawaran ini sah untuk perjalanan antara 16 September hingga 31 Oktober 2021.
Seperti SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, tawaran ini sah kepada pelanggan yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19. Mereka layak untuk menikmati penerbangan tambang Economy Lite Malaysia Airlines serendah RM89 untuk perjalanan sehala. Tiket penerbangan tersebut turut dilengkapi dengan elaun bagasi kabin seberat tujuh kilogram (kg) dan makanan percuma.
Bagi pelanggan yang mahu kemudahan perjalanan yang lain pula boleh memilih tambang Economy Flex. Ia didatangkan dengan faedah tambahan termasuk perubahan tarikh tanpa had dan tiada bayaran yang dikenakan. Pakej ini juga dilengkapi dengan fleksibiliti “Go Show” (mengubah masa penerbangan), keutamaan daftar masuk, keutamaan menaiki pesawat (boarding) dan bagasi sebanyak 35 kilogram.
Pakej dan jadual penerbangan Malaysia Airlines boleh disemak di sini.
Penerbangan Firefly serendah RM19 ke Langkawi
Bagi pelancong dari Pulau Pinang, mereka boleh menaiki penerbangan Firefly dengan harga tiket serendah RM19 sehala. Firefly turut menyediakan tiket serendah RM69 untuk penerbangan sehala dari Subang ke Langkawi. Diskaun sebanyak RM50 turut disediakan sebagai insentif kepada individu yang sudah menerima suntikan vaksinasi lengkap.
Pakej dan jadual penerbangan Firefly boleh disemak di sini.
Sebanyak 28 penerbangan seminggu disediakan oleh Malaysia Airlines ke Langkawi dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Bagi perkhidmatan Firefly pula, sebanyak 10 penerbangan seminggu disediakan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor.
MHholidays tidak ketinggalan dengan menawarkan diskaun sehingga 50 peratus. Pakej ini termasuk tiket penerbangan dan pakej hotel di hotel empat hingga lima bintang yang terpilih. Antara hotel yang menyertai pakej tersebut termasuk Datai Langkawi, Berjaya Langkawi Resort, Pelangi Beach Resort and Spa dan Vivanta Langkawi Rebak Pulau.
Pakej pelancongan Langkawi kelolaan MHholidays pula boleh disemak di sini.