Selepas pengumuman Mark Zuckerberg tentang penukaran nama syarikat induk Facebook kepada Meta Platform, atau Meta, sahamnya meningkat naik. Saham Meta meningkat secara mendadak kepada lebih 9 peratus, dua kali ganda melebihi purata saham di Nasdaq.
Ia menunjukkan trend yang menyokong kuat Metaverse, sebuah dunia maya seperti di dalam filem Ready Player One. Di dalam filem arahan Steven Spielberg tersebut, manusia pada tahun 2045 hidup di dalam dunia menggunakan OASIS. Ia merupakan sebuah simulasi realiti maya yang berbeza daripada norma kehidupan sebenar.
Idea ini mungkin dianggap terlalu kehadapan oleh sesetengah pihak. Namun begitu, ketika ini pelabur sedang berlumba-lumba untuk membeli ‘hartanah’ dan ‘harta benda’ di dalam Metaverse. Antara ‘hartanah’ paling bernilai ketika ini adalah yang dijual oleh Decentraland.
Berikut merupakan tiga jualan hartanah tertinggi yang dicatatkan di dalam Metaverse (setakat ini).
1. Hartanah Decentraland dijual pada harga $2.43 juta
Setakat ini, penjualan ini merupakan transaksi hartanah digital tertinggi pernah dicatatkan. Kumpulan Metaverse membeli hartanah di Decentraland yang dijangka bakal menjadi hartanah penting suatu hari nanti.
Nilai pembelian ini adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada penjualan sebelum ini dibuat.
2. Hartanah Axie Infinity dijual pada harga $2.3 juta
Selepas Decantraland, Genesis Land milik Axie Infinity juga terjual dengan nilai yang sangat tinggi. Axie Infinity dicipta oleh Sky Mavis, sebuah syarikat platform NFT terbesar di dunia dari Vietnam.
Penjualan bernilai $2.3 juta ini dipercayai merupakan jualan kedua tertinggi bagi hartanah maya.
3. Satu plot hartanah bernilai $913,228.20
Selain Kumpulan Metaverse, Republic Realm juga sedang giat mengumpulkan pelaburan hartanah di dalam Decentraland. Baru-baru ini, Republic Realm juga membeli satu lot hartanah di Decentraland dengan nilai $913,228.20. Mereka turut memiliki ibu pejabat sendiri di dalam Metaverse.
Ia merupakan jualan ketiga tertinggi di dalam dunia metaverse yang melibatkan hartanah digital. Sebagai perbandingan, ia jauh lebih bernilai daripada harga purata sebuah rumah di Manhattan, Amerika Syarikat.
Ura-ura penyertaan Disney di dalam Metaverse bakal meningkatkan lagi nilai hartanah maya ini. Persoalannya, adakah kita mampu mengejar dan menyaingi pembelian tersebut kelak?